Minggu Solidariti Palestin KPM tak wajar ‘dikotorkan’

Minggu Solidariti Palestin KPM tak wajar ‘dikotorkan’

IRWAN FAHMI IDERIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) perlu dipenuhi dengan aktiviti yang mendidik para pelajar dan murid dengan nilai-nilai kemanusiaan serta melambangkan kedamaian.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, antara yang boleh dianjurkan termasuklah aktiviti melukis dan solat hajat bagi yang beragama Islam.

Katanya, program itu tidak sepatutnya ‘dikotorkan’ dengan adegan memegang senjata mainan seperti yang berlaku dan tular di media sosial baru-baru ini.

“Perkara itu tidak seharusnya berlaku di sekolah apatah lagi kita sedang mendidik generasi muda untuk menerapkan nilai-nilai murni serta berperikemanusiaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar guru dan murid yang memegang senjata mainan dipercayai mempunyai kaitan dengan majlis yang diadakan untuk bersolidariti kepada rakyat Palestin di sebuah sekolah.  

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun menjelaskan, program tersebut tidak mengikut garis panduan ditetapkan malah tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin bermula semalam hingga 3 November ini.

Tambah Irwan Fahmi, kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kepada mana-mana pihak yang mungkin cuba menyalahgunakan Minggu Solidariti Palestin atau membuat tafsiran salah mengenainya.

“Di sebalik apa yang berlaku, rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik perlu terus bersolidariti bersama rakyat Palestin. Tindakan itu boleh dilakukan tanpa perlu kita menunjukkan aksi negatif kepada generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN