Menyanyi itu ibarat bercerita – Hazim Razali - Utusan Malaysia

Menyanyi itu ibarat bercerita – Hazim Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGELAR pendatang baharu dalam dunia seni seharusnya perlu bersedia merintangi pelbagai onak ranjau. Mungkin ada yang mudah sahaja meraih populariti, tetapi tidak semuanya bertuah.

Namun apa yang paling sukar adalah bagaimana untuk kekal relevan dan diingati. Itu memerlukan strategi dan juga usaha yang tidak pernah kenal jemu. Ramai anak seni ketika ini sedang berjuang, untuk kekal relevan.

Menganggap itu sebagai satu cabaran sebelum berjaya mencipta realiti, penyanyi, Hazim Razali percaya, selain usaha dan strategi, apa yang penting adalah bagaimana seseorang artis itu menjaga nama.

Apatah lagi dia bukan penyanyi yang lahir daripada mana-mana program realiti. Bakatnya dicungkil kerana yakin dengan kemampuan dan nyanyiannya. Persaingan itu akan lebih sukar dan mencabar.

“Saya bukan lahir daripada program realiti atau pernah menjadi tular, tapi saya nampak rezeki Allah beri itu.

“Dengan saingan hebat diberikan dalam kalangan penyanyi di Malaysia ketika ini, saya rasa itu bagus kerana industri muzik tempatan terus berkembang.

“Kita perlukan persaingan sihat untuk tumbuh mekar. Rezeki saya baru bermula dan saya tak akan mengalah sebab ini yang saya mahukan,”ujarnya.

Baru sahaja melancarkan lagu Bisa, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Wanz Barons dengan susunan muzik daripada Along Exists adalah dahan harapan untuk dia berpaut meneruskan minat dalam dunia muzik tempatan.

“Saya bergerak seorang diri dengan dibantu beberapa rakan yang percaya terhadap potensi dan bakat saya. Saya mahu buktikan kesungguhan kerana membawa tanggungjawab besar untuk memberikan yang terbaik kepada mereka yang banyak membantu dan menyokong kerjaya saya.

“Ketika ini, saya tidak bernaung di bawah mana-mana label, tetapi untuk seseorang yang kosong dan bukan siapa-siapa apabila ada melancarkan lagu dan muzik video saya ditonton, ia adalah satu pencapaian.

“Lebih-lebih lagi kalau lagu ini dimainkan di radio dan saya muncul di TV. Saya mahu tunjukkan apa yang saya boleh buat kepada semua,”terangnya.

BISA BUKTI KEIKHLASAN

Bercerita tentang Bisa, Hazim berkata, lagu tersebut mewakili perasaan lelaki yang mungkin sedang patah hati kerana dikhianati cinta daripada insan yang paling kita sayang.

“Dari awal lagu saya seolah-olah bercakap dengan seseorang mengenai kesakitan apabila dikhianati.

“Kelebihan saya adalah perasaan yang disampaikan dalam lagu dan saya tahu kemampuan vokal dimiliki cuma belum diberikan peluang untuk tunjuk kepada semua.

“Pada saya menyanyi itu adalah bercerita. Jadi, ketika menyanyi perlu menjiwai untuk menceritakan kepada orang lain,” jelasnya.

Ditanya adakah vokal yang tinggi dan penuh teknikal merupakan kunci kejayaan bagi seseorang penyanyi, Hazim melontarkan pandangannya.

“Saya rasa perkataan lebih sesuai untuk menggambarkan kelebihan saya adalah ikhlas. Saya mahu pendengar rasa keikhlasan lagu itu. Saya mahu orang tahu dan nampak perkara itu.

“Nyanyian yang terlampau teknikal sememangnya cukup hebat. Tetapi bagi saya, nyanyian yang ikhlas dan menjiwai lebih mudah sampai kepada orang. Itu akan bawa kita lebih ke depan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya