KUALA LUMPUR: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggesa supaya media tempatan tidak terikut-ikut membawa naratif pelaporan berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Semenanjung Gaza, Palestin.
Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan terkait keadaan keselamatan dan keamanan di Semenanjung Gaza, Palestin, yang memperlihat angka korban semakin meningkat.

“Kami ingin menggesa agar pihak media tempatan untuk tidak terikut membawa naratif berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Gaza sekarang.
“Kami akan terus meneliti perkembangan krisis ini dan melihat ruang untuk sebarang usaha mengangkat isu ini ke perhatian pihak sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menuntut supaya masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab mengambil langkah segera mengatasi krisis itu.
“Tekanan mesti dizahirkan kepada rejim Israel supaya mereka menghentikan segala kegiatan yang melanggar undang-undang dan hak kemanusiaan.
“Kaukus juga mahu semua pihak menghormati hak kedaulatan rakyat Palestin di bumi mereka sendiri dan tidak menjadikan situasi sekarang sebagai alasan untuk tindakan khianat mencetus pergolakan di Palestin dan meraih sokongan negara lain melalui hubungan normalisasi.
“Kaukus juga ingin menggalakkan seluruh pihak terutama kumpulan masyarakat dan pertubuhan awam di Malaysia, termasuk masyarakat antarabangsa menggerakkan sebarang bantuan kemanusiaan dengan segera sebaik keadaan mengizinkan,” katanya.
Kebimbangan pencerobohan darat secara besar-besaran ke atas Gaza semakin meningkat apabila Israel berikrar menjadikan kawasan Palestin yang terkepung itu sebagai padang jarak padang tekukur berikutan serangan roket Hamas kelmarin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Natanyahu turut memberi bayangan seolah-olah Gaza berkemungkinan akan lenyap dari muka bumi Palestin selepas ini.
Jumlah kematian di Gaza dan wilayah Israel tidak mustahil boleh mencecah ribuan mangsa sekiranya konflik masih berterusan dan tiada gencatan senjaya dipersetujui.
Setakat pukul 7 malam tadi, angka korban yang dilaporkan sekurang-kurangnya 313 orang dan sekitar 2,000 lagi cedera di Gaza yang dikawal ketat itu. – UTUSAN










