JOHOR BAHRU: Dua kumpulan penjenayah yang giat mencuri motosikal di daerah ini tumpas selepas 12 ahli geng tersebut termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa siri serbuan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya turut merampas 17 motosikal pelbagai jenis yang dipercayai dicuri kedua-dua geng tersebut.
“Kejayaan ini susulan laporan kehilangan sebuah motosikal di Taman Abad, di sini, pada 25 Mei lalu. Bertindak atas maklumat, polis menahan lima lelaki berusia 24 hingga 38 tahun ahli ‘Geng Danish’ di sekitar bandar raya ini, Taman Kota Masai dan Taman Pulai Indah pada 25 dan 26 Mei lalu.
“Polis turut merampas lapan motosikal pelbagai jenis selain topi keledar, pakaian yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah, telefon bimbit dan kunci motosikal,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Raub berkata, semakan mendapati kesemua lima suspek mempunyai 47 rekod lampau berkaitan jenayah, dadah dan penipuan manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.
“Modus operandi adalah mencuri motosikal dengan cara menunda atau menolak motosikal sebelum menghidupkannya menggunakan kaedah sambung wayar atau looping di kawasan pangsapuri dan juga di kawasan terbuka.
“Susulan soal siasat terhadap kumpulan pertama, polis berjaya mengesan satu lagi sindiket dikenali sebagai ‘Geng As’ yang turut aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal,” katanya.
Tambahnya, serbuan yang dilakukan pada 3 Jun hingga keesokan harinya berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 35 tahun di sekitar Tanjung Puteri, Felda Ulu Tebrau, Kempas Lama dan Masai.
“Dalam operasi itu, polis merampas sembilan motosikal, dua rangka motosikal, dua kunci motosikal, satu unit brek lever jenama Brembo, cermin sisi motosikal serta lapan telefon bimbit.
“Semakan mendapati lima daripada enam suspek mempunyai 30 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine,” katanya.
Menurutnya, penahanan 12 suspek itu dipercayai berjaya menyelesaikan 18 kes curi motosikal dan satu kes curi komponen motosikal di kawasan pentadbiran IPD Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri. – UTUSAN










