ARAU: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai teknologi mengenal pasti manipulasi beras putih tempatan (BPT) dicampur dengan beras import.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) negeri, Mohd. Amirudin Che Hat berkata, bagi menangani perkara tersebut, satu sampel akan diambil menerusi operasi yang dijalankan dan kemudian dihantar ke MARDI bagi melalui uji kaji dalam mengenal pasti beras berkenaan.
Menurut beliau, secara mata kasar, beras tempatan yang ditukar ke pek import sememangnya sukar dikenal pasti di pasaran dan ia perlu melalui proses uji kaji tersebut di MARDI.
“Bermula semalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga sudah memulakan operasi bersepadu melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam bagi mengenal pasti kes beras putih tempatan yang ditukar ke pek import.
“Jadi melalui operasi ini, kita akan ambil dan hantar sampel ke MARDI untuk melakukan uji kaji berkenaan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan isu kekurangan BPT di pasaran terus berlarutan meskipun pengeluaran beras tempatan tersebut dikatakan antara 60 sehingga ke 65 peratus setahun sekali gus menimbulkan persoalan ke mana hilangnya bekalan berkenaan yang kini didominasi oleh beras import.
Bagi pesawah, mereka melihat isu berkenaan lebih kepada tindakan manipulasi daripada pihak pemborong yang didakwa mencampur 65 peratus beras tempatan ke dalam kampit beras import bagi mengaut lebih keuntungan.
Isu ini terus menjadi persoalan bagaimana beras tempatan boleh berkurangan dengan dalam konteks Perlis sahaja negeri itu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara dengan hasil pengeluaran padi di negeri ini pula adalah sebanyak 154,975,325 tan metrik semusim.
Mengulas lanjut, Mohd. Amirudin berkata, buat masa ini, tiada sebarang isu timbul membabitkan pertukaran beras tempatan kepada kampit beras import di negeri ini.
“Setakat ini kita belum mengambil sebarang sampel lagi di Perlis kerana di negeri ini, bekalan BPT akan sampai terus di kilang dan kemudiannya akan dipek. Jadi tiada isu beras campur atau tukar pek beras berlaku di Perlis setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Amiruddin berkata, berdasarkan permintaan beras di Perlis setakat ini, nisbah pengguna yang membeli BPT dan beras import adalah pada kadar 60:40.
Tambahnya, kebanyakan pengguna kini beralih kepada BPT disebabkan oleh isu global dan juga harga beras import yang melonjak naik.
“Kalau diikutkan dulu orang kita ramai menggunakan beras import namun disebabkan harganya telah naik, ramai memilih untuk membeli BPT,” katanya. – UTUSAN










