Mangsa pemerdagangan manusia didera, diperkosa

Mangsa pemerdagangan manusia didera, diperkosa

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Didera, tidak dibayar gaji malah diperkosa antara kes pemerdagangan manusia dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negara ini apabila seramai 1,179 individu dieksploitasi sindiket atau majikan bagi tujuan seks atau buruh paksa sejak 2021 hingga Ogos lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 183 kes melibatkan buruh paksa manakala 112 kes lagi berkaitan eksploitasi seks.

Katanya, selain itu, sebanyak 18 kes membabitkan lain-lain kes menyalahi undang-undang antaranya jual bayi dan kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang muda (Pekerjaan) 1966 serta satu kes pengabdian.

Jelas beliau,walaupun kes pemerdagangan manusia di negara ini masih terkawal, isu kerja paksa perlu diberi penekanan kerana ia dilihat trend jenayah pemerdagangan baharu terutamanya melibatkan pembantu rumah di negara ini.

“Ini kerana ada segelintir kes membabitkan pembantu rumah tidak dibayar gaji dan didera mental dan fizikal. Malah ada antara mereka turut menjadi mangsa rogol oleh majikan.

“Selain itu, ada majikan yang mengehadkan kebebasan dan pergerakan, memegang dokumen peribadi selain mengancam atau menggugut mangsa-mangsa ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, menurut Fadil, sejak tahun 2021 hingga Ogos lalu, pihaknya berjaya  menyelamatkan 95 pembantu rumah dipercayai diekploitasi majikan melibatkan warga Indonesia, India, Kemboja, Filipina dan Sri Lanka.

Selain itu, jelasnya, antara modus operandi eksploitasi buruh paksa dikesan dengan memperdaya atau menipu, masa kerja panjang, tempat kerja dan tempat tinggal tidak kondusif serta mengasingkan mereka sehingga memberi kesan kepada mental mangsa.

“Terdapat mangsa yang dijanjikan pekerjaan lain namun apabila tiba di negara ini dipaksa menjadi pelacur atau sebagainya.

“Kebanyakan mangsa terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Kemboja dan Filipina serta lain-lain.

Tambah Fadil, daripada tempoh tersebut, pihaknya turut menahan 612 individu yang terdiri daripada majikan, ejen, penjaga serta mereka yang terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia.

“ATIPSOM sentiasa melakukan risikan dan operasi selain menyokong usaha kerajaan yang memandang isu ini secara serius bagi mengekang kes pemerdagangan manusia.

“Pihak polis tidak bertolak ansur segala bentuk ekploitasi pemerdagangan orang dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang terlibat dengan jenayah yang mencabuli hak asasi manusia ini,” katanya.

Pada 14 September lalu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dilaporkan berkata, kerajaan memandang serius isu pemerdagangan manusia dengan meletakkan sasaran sifar buruh paksa menjelang 2030.

Beliau berkata, komitmen kerajaan menangani buruh paksa boleh dilihat menerusi pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang telah mewujudkan peruntukan baharu menerusi Seksyen 90B berhubung buruh paksa selain melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (2021-2025) (NAPFL).

Pada 15 Jun lalu, Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023 menunjukkan status Malaysia naik dari Tahap 3 kepada Tahap 2 Pemerhatian sementara menyarankan agar Malaysia memberi penekanan kepada kes pemerdagangan orang yang membabitkan penjawat awam serta menambah baik kerjasama antara agensi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×