PUTRAJAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melakukan reformasi untuk memastikan pertubuhan dunia itu kekal sesuai dengan tujuan asalnya.
Gesaan itu disuarakan Malaysia dalam menyertai komuniti antarabangsa sempena sambutan ulang tahun ke-78 PBB hari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia terus percaya bahawa pelbagai cabaran yang dihadapi dunia pada hari ini hanya dapat ditangani melalui kerjasama lebih erat dan dengan sistem multilateralisme yang diperkukuhkan.
“Pada hari ini, Malaysia memperbaharui komitmennya kepada PBB. Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi global yang kukuh dan boleh dipercayai.
“Ia selaras dengan nilai-nilai sejagat yang termaktub dalam Piagam PBB selaras dengan prinsip-prinsip terkandung di dalam Malaysia Madani yang diperlukan dalam mewujudkan dan memajukan masyarakat yang harmoni,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, Hari PBB disambut setiap tahun untuk menandakan tarikh berkuat kuasanya Piagam PBB serta penubuhan badan tersebut pada tahun 1945.
Sejak menyertai PBB selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia secara konsisten mempromosikan tiga tonggak asas sistem PBB iaitu keamanan dan keselamatan; hak asasi manusia; dan pembangunan. – UTUSAN










