PETALING JAYA: Evocom Berhad (Evocom), penyedia perkhidmatan sokongan e-dagang tampil di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) pada 15 sen sesaham, lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 18 sen, dengan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 3.49 juta saham.
Menerusi IPO itu, syarikat mengumpul hasil kasar kira-kira RM20.50 juta daripada penerbitan 113.907 juta saham biasa baharu pada harga RM0.18 sesaham.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira RM3 juta atau 14.63 peratus akan digunakan bagi membangunkan aplikasi teknologi proprietari termasuk EVOSHIFT dan CLiPs, khususnya untuk meningkatkan integrasi data dan kecerdasan buatan (AI).
Sebanyak RM7.20 juta atau 35.12 peratus pula diperuntukkan sebagai modal kerja bagi perniagaan perkhidmatan tenaga kerja fleksibel, manakala RM3 juta atau 14.63 peratus akan digunakan sebagai modal kerja untuk mengembangkan perniagaan pemindahan kargo udara.
Evocom turut memperuntukkan RM1.50 juta atau 7.31 peratus bagi penubuhan ibu pejabat baharu yang dicadangkan di Nilai, Negeri Sembilan, yang akan menghimpunkan fungsi gudang, pejabat dan operasi.
Baki hasil IPO merangkumi kira-kira RM1.34 juta atau 6.56 peratus untuk modal kerja am dan RM4.46 juta atau 21.75 peratus bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutif Evocom, Ian Tan berkata, perkembangan sektor e-dagang dan logistik Malaysia terus menyediakan peluang pertumbuhan kepada kumpulan itu.
“Industri perkhidmatan sokongan logistik e-dagang Malaysia berkembang daripada RM1.4 bilion pada 2022 kepada RM1.5 bilion pada 2025, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 2.3 peratus dan dijangka mencecah RM1.7 bilion menjelang 2028.
“Dalam persekitaran ini, kami melihat peluang besar untuk memperkukuh keupayaan dan menyokong keperluan operasi pemain e-dagang yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkembangan perniagaan Evocom dapat dilihat menerusi evolusi operasinya, daripada memenuhi keperluan tenaga kerja dan penghantaran kepada pengembangan perkhidmatan sokongan rangkaian yang merangkumi pengurusan hab, pemindahan, penghantaran jarak terakhir dan penghantaran bungkusan.
Menurutnya, Evocom mahu memanfaatkan asas pelanggan sedia ada, memperluas keupayaan perkhidmatan, melabur dalam teknologi dan memperkukuh infrastruktur operasi, termasuk menerusi kemudahan baharu di Nilai.
“Pada masa sama, kami kekal berdisiplin dalam penggunaan modal dan pembangunan sumber pendapatan baharu.
“Kami percaya fasa seterusnya Evocom adalah untuk bergerak melangkaui sekadar mengurus tenaga kerja dan bungkusan kepada menghubungkan manusia, teknologi dan keupayaan logistik bagi membolehkan kami berkembang seiring dengan keperluan industri e-dagang yang terus berubah,” jelasnya.
NewParadigm Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO Evocom. – UTUSAN











