Maaf tiada berita baik di Gaza, situasi semakin memburuk -luah

Maaf tiada berita baik di Gaza, situasi semakin memburuk – Luah rakyat Malaysia di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Maaf, tiada berita baik hari ini, semakin lama semakin buruk situasi di sini,” kata Nurul Ain Haron.

Itu respon pertama rakyat Malaysia, Nurul Ain, 37, kepada Utusan Malaysia selepas hampir 24 jam tidak dapat dihubungi berikutan kekangan bekalan elektrik untuk mengecas telefon bimbitnya dan liputan internet yang terhad di Semenanjung Gaza ketika ini.

Menurut Nurul Ain, keadaan di Gaza semakin tertekan sehinggakan dia sendiri tidak dapat menggambarkan kesengsaraan yang ditanggung penduduk Palestin ketika ini.

“Hari ini (semalam) sudah masuk hari ke-10 serangan, masih tiada air, tiada elektrik, serangan bom tak tentu masa terutamanya pada waktu malam. Nak tidur atau nak keluar rumah dengan perasaan takut dan risau.

“Apabila keluar dari rumah, lihat orang sekeliling yang hilang tempat tinggal, hilang keluarga… stok makanan semakin berkurangan. Semua itu kami hadapi di sini, sampai bila pun kita tak tahu.

“Simpati sahaja sudah tidak mencukupi, kita perlu ada empati, untuk orang berduit, Alhamdulillah mungkin boleh bertahan, tapi, bagaimana dengan mereka yang sehelai sepinggang,” katanya ketika dihubungi.

Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan Shaat, 33, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.

Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan pernikahan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.

Pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober ini melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun, mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.

Menurut Nurul Ain, dia dan suami bukanlah tertekan disebabkan memikirkan masa depan sendiri sebaliknya mengenang nasib warga Gaza kerana bekalan makanan pada masa kini amat membimbangkan.

“Tadi (semalam) kami keluar membeli barangan keperluan untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan, tetapi, kedai biasa yang kami kunjungi sudah pun kehabisan stok makanan. Alhamdulliah, ada kedai yang masih mempunyai stok, namun, belum tentu stoknya cukup pada hari mendatang,” katanya.

Walaupun dirinya sendiri terkandas di bumi bergolak itu, Nurul Ain masih melakukan kerja-kerja amal dengan mengagihkan 60 plastik barangan keperluan hampir setiap hari kepada ‘pelarian’ khususnya di Khan Younis, hasil sumbangan rakan-rakan dalam media sosialnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN