KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengakui terlepas pandang berhubung perjanjian tambahan 6 (SA6) kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang ditandatangan tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun menegaskan, pihaknya telah mengambil kira semua pandangan AGC ketika membuat perjanjian mengenai projek LCS.
“Laporan (PAC) itu mengatakan bahawa kami tidak mengambil kira pandangan AGC. Itu salah sama sekali kerana dalam proses dan rundingan ada wakil Peguam Negara. Dasar-dasar AGC pun kita telah guna pakai.
“Tetapi (mengenai) mendapatkan (kelulusan) hitam putih daripada AGC sebelum menandatangani perjanjian tambahan keenam, saya fikir itu adalah terlepas pandang di pihak kami,” katanya dalam sidang media di Parlimen semalam.
Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam rumusan laporan prosiding berhubung kemajuan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 menyatakan, SA6 yang ditandatangan pada 26 Mei 2023 tidak mendapat persetujuan AGC.
AGC menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA6 dan sepatutnya dikemuka kembali kepada AGC sebelum ditandatangani kementerian.
“Keputusan kementerian membelakangkan AGC dalam menandatangani SA6 ialah tindakan tidak wajar kerana boleh memberi implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” kata PAC.
Kerajaan dijadual akan menerima kelima-lima LCS pada tahun 2029 dan memerlukan tambahan kos RM2.098 bilion daripada kos asal RM9.128 bilion.
Rumusan jawatankuasa mendapati, tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan kepada 83 bulan atau dijangka memperoleh kelima-lima LCS pada 2029, berbanding kontrak asal kapal LCS kelima yang sepatutnya diserah pada tahun 2022.
PAC terdahulu mendedahkan, tiada satu pun LCS disiapkan meskipun kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus. – UTUSAN










