Kutipan zakat menerusi Skim Sakinah di Pulau Pinang meningkat 3.8 peratus - Utusan Malaysia

Kutipan zakat menerusi Skim Sakinah di Pulau Pinang meningkat 3.8 peratus

AMRAN Hazali (kanan) bersama Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah selepas menandatangani plak kempen zakat pendapatan (Skim Sakinah) dalam program santai selebriti dan kempen zakat pendapatan di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Prestasi kutipan zakat di negeri ini sehingga 30 September lalu menerusi Skim Sakinah meningkat sebanyak 3.8 peratus iaitu kepada RM42.5 juta berbanding RM40.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali berkata, peningkatan jumlah kutipan itu didorong oleh jumlah majikan yang bertambah saban tahun.

”ZPP sedar kempen kesedaran zakat secara praktikal boleh dilaksanakan dengan bantuan yang signifikan daripada pihak majikan.

”Ia terutama dengan bantuan daripada agensi kerajaan negeri yang memberikan ruang dan peluang kepada ZPP untuk membuat taksiran zakat kepada prospek pembayar zakat dalam kalangan kakitangan agensi dan jabatan,” katanya dalam ucapan dalam program santai selebriti dan kempen zakat pendapatan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah.

Menurut beliau, skim potongan zakat pendapatan atau Skim Sakinah dilancarkan pada 2020 oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ketika itu, Datuk Abdul Razak Jaafar dan merupakan penjenamaan semula skim potongan zakat bulanan.

”Pelaksanaan skim ini selaras dengan Fatwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai kewajipan zakat penggajian yang diwartakan pada 26 April 2001.

“Kewajipan menunaikan zakat penggajian berdasarkan nisab zakat pendapatan iaitu bersandarkan 85 gram emas.

“Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ZPP telah menyediakan inisiatif menarik untuk diberikan kepada pembayar-pembayar zakat iaitu Skim Kafalah Mahabbah.

”Skim Kafalah Mahabbah ini membolehkan para pembayar zakat yang menunaikan zakat minimum RM100 setahun dan mendapat faedah khairat kematian berjumlah RM1,000 jika berlakunya kematian,” katanya.

Tambahnya, ZPP secara berstrategik menggerakkan program menyantuni golongan yang kurang berkemampuan terutama asnaf-asnaf zakat di Pulau Pinang.

“Sebahagian besar program pada tahun ini telah pun dilaksanakan dan bakinya akan dilaksanakan program-program berimpak tinggi di dalam program bulan zakat Pulau Pinang yang dijangka bermula 26 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya