Ibu bapa lega terima pakaian, kelengkapan sekolah daripada ZPP

Ibu bapa lega terima pakaian, kelengkapan sekolah daripada ZPP

MOHD Sofian Ramli (tengah) membantu anak-anaknya mencari pakaian serta kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Rata-rata ibu bapa pelajar yang menerima bantuan menerusi skim agihan zakat pakaian seragam ‘Back to School’ daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) hari ini menarik nafas lega selepas menerima bantuan berkenaan.

Menerusi bantuan tersebut, setiap pelajar akan menerima baucar e-tunai bernilai RM150 untuk pembelian pakaian serta peralatan persekolahan dengan penebusan baucar pula boleh dibuat dengan menggunakan kad pengenalan penerima tanpa tunai melibatkan 20 outlet yang dilantik oleh ZPP.

Seorang penerima, Nor Aziah Rahim, 32, berkata, dia bersyukur kerana buat pertama kalinya dia memperoleh bantuan tersebut daripada ZPP.

NOR Aziah Rahim (kanan) ditemani suaminya mencari pakaian serta kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka di sebuah pasar raya di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Ibu kepada tiga orang anak berusia lapan dan lima tahun itu berkata, bantuan tersebut ternyata dapat meringankan beban kewangan keluarganya dalam menyediakan kelengkapan untuk persekolahan anak-anak mereka.

“Saya tidak bekerja dan suami pula hanya bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas sahaja. Jadi, memang agak berat dari segi kewangan untuk suami menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak kami.

“Saya kemudian memohon untuk mendapatkan bantuan zakat ini daripada Pegawai Penyelaras Kadun (kawasan Dewan Undangan Negeri) di Batu Maung dan bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan ini,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Terdahulu, program skim agihan zakat pakaian seragam ‘Back to School’ itu dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Menerusi program ini, seramai 20,000 pelajar akan menerima sumbangan zakat di mana pelajar yang menerima sumbangan itu memohon menerusi 160 sekolah serta melalui kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun), Pegawai Penyelaras Kadun (PPK), Ahli Lembaga Pengarah ZPP dan Ahli Majlis Agama Islam (MAINPP).

Seorang lagi penerima, Mohd Sofian Ramli, 40, berkata, tiga anaknya yang berusia 13 hingga lapan tahun kini bersedia untuk kembali ke sekolah dengan pakaian dan kelengkapan baharu yang disumbangkan oleh ZPP.

“Saya berharap program sebegini akan diteruskan pada masa depan memandangkan kos sara hidup kian meningkat naik pada masa ini.

“Sekurang-kurangnya, bantuan ini dapat membantu ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan terbaik untuk anak-anak mereka,” katanya.

Tambah Mohd. Sofian, dia yang bekerja sebagai pemandu sebuah syarikat kurier memang berdepan kesukaran untuk menyediakan kelengkapan persekolahan memandangkan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×