5,000 mahasiswa terima sumbangan RM17 juta

5,000 mahasiswa terima sumbangan RM17 juta

BUKIT MERTAJAM : Seramai 5,000 mahasiswa termasuk mereka yang belajar di luar negara menerima manfaat hasil pengagihan sumbangan berjumlah RM17 juta oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerusi Skim Dermasiswa Premium Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seramai 5,000 mahasiswa termasuk mereka yang belajar di luar negara menerima manfaat hasil pengagihan sumbangan berjumlah RM17 juta oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerusi Skim Dermasiswa Premium Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, bantuan itu diberi bagi memastikan kelestarian pendidikan berkualiti yang membangunkan generasi ummah agar cemerlang dapat dicapai.

“Tahun ini kita buat penambahbaikan apabila Skim Dermasiswa turut dibuka kepada para pelajar Pulau Pinang yang belajar di seluruh politeknik bermula daripada peringkat diploma dan ke atas.

“Menerusi peruntukan yang sama, Skim Permulaan Pelajar Tingkatan Enam Rendah turut diperkenalkan dan setiap pelajar terpilih akan menerima sebanyak RM800 secara ‘one off’,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, jumlah peruntukan terbabit bertambah berbanding tahun lalu susulan peningkatan kutipan zakat.

“Oleh itu, kita amat perlukan sokongan individu untuk terus membayar zakat menerusi potongan gaji dan syarikat bumiputera bagi menunaikan zakat perniagaan supaya bantuan ini dapat diteruskan buat pelajar yang terdiri daripada anak-anak beragama Islam,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mohamad turut berharap agar para mahasiswa dan pelajar dapat menggunakan amanah dana zakat ini sebaik mungkin untuk terus memperjuangkan keagungan agama Islam dan mengubah nasib umat, masyarakat dan keluarga ke arah lebih baik melalui pendidikan.

“Tanamkan azam untuk menjadi pembayar zakat apabila sudah berjaya nanti agar dapat menyalurkan bantuan pula kepada golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×