GEORGE TOWN : Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid masih belum bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff yang mendakwa agihan zakat di negeri ini meminggirkan golongan asnaf di kawasan pembangkang.
Sebaliknya, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pada masa ini, beliau lebih gemar mengambil pendekatan untuk menerangkan kepada rakyat dengan menggunakan fakta yang tepat dan benar berhubung agihan zakat di Pulau Pinang.
“Saya belum mahu ambil tindakan undang-undang buat masa ini, tapi, saya nasihatkan Muhammad Fauzi agar tidak mempolitikan isu agihan zakat.
“Saya juga ingin menggesa Ketua Pembangkang itu supaya tidak membuat tohmahan jahat dan liar terhadap saya. Tolong dapatkan maklumat yang betul dan berfakta mengenai soal agihan zakat terlebih dahulu,” katanya selepas melancarkan skim agihan zakat pakaian seragam ‘Back to School’, di sini hari ini.
Program berkenaan merupakan salah satu daripada program anjuran Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk meringankan beban keluarga asnaf dalam membuat persiapan bagi mengadapi sesi persekolahan akan datang.
Sebelum ini, Muhammad Fauzi dalam sidang medianya dilaporkan berkata, bantuan zakat di Pulau Pinang telah dinafikan kepada pengundi daripada golongan miskin di 11 kawasan pembangkang.
Menurut Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu, isu tersebut bermula apabila ZPP hanya memanggil wakil daripada parti Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri taklimat berkaitan skim bantuan pakaian sekolah dan penyampaian hamper Nur Ramadan kepada golongan miskin awal bulan ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP memberitahu, agihan zakat oleh ZPP tidak dibuat mengikut mana-mana fahaman politik seperti didakwa oleh Muhammad Fauzi.
“Saya tidak buat keputusan seorang diri berhubung agihan zakat. Sebagai contoh, penerima agihan zakat menerusi program ‘Back to School’ ini ada lebih 19,000 orang. Manalah saya nak cari sampai 19,000 nama asnaf.
“Dalam hal ini, ZPP sebenarnya telah membuat agihan secara profesional dan ZPP juga ada data asnaf. Mereka turut membuat tapisan data secara profesional bagi memastikan agihan zakat adalah telus,” katanya.
Sementara itu, katanya, ZPP telah memperuntukan sebanyak RM3 juta untuk program skim agihan zakat pakaian seragam Back to School dan seramai 20,000 pelajar akan menerima sumbangan zakat ini.
“Menerusi program ini, setiap pelajar akan menerima baucar e-tunai bernilai RM150 untuk pembelian pakaian dan peralatan persekolahan,” katanya.-UTUSAN










