PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melancarkan tinjauan kaji selidik mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi generasi penamat perokok (GEG) di aplikasi MySejahtera.
Tinjauan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera mulai hari ini.
Sebanyak lima soalan disediakan bertujuan untuk mengukur pendapat orang ramai mengenai risiko kesihatan berkaitan merokok, pendirian mereka terhadap RUU dan pandangan mereka tentang GEG yang melarang penjualan produk merokok dan menghalang individu yang lahir dari Januari 2007 dan seterusnya daripada merokok seumur hidup.
Tinjauan itu juga memaparkan video Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang menjelaskan perkara yang perlu diketahui orang ramai mengenai GEG.
Semalam, pembentangan RUU itu ditangguhkan selepas asalnya dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada hari tersebut.
Penangguhan itu dibuat bagi menampung urusan Parlimen lain, tetapi pihak Kementerian Kesihatan tidak menyatakan tarikh baharu untuk pembentangan RUU tersebut. – UTUSAN










