SRI AMAN: Seorang lelaki warga emas maut, manakala penumpang cedera dalam satu kemalangan jalan raya di Simpang Klassen, Jalan Sri Aman-Betong pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata warga emas berusia 71 tahun mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan disahkan meninggal dunia.

“Sekitar jam 7 pagi tadi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan berhubung kejadian kemalangan pertembungan kenderaan Proton Saga yang dinaiki warga emas dengan sebuah kereta Honda Jazz berhampiran persimpangan ‘U-turn’ Nanga Klassen di sini.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba melakukan operasi menyelamat untuk mengeluarkan mangsa seorang pemandu kereta Proton Saga,” katanya
Tambahnya lagi, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala berjaya dikeluarkan.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang maut dan identitinya dikenal pasti sebagai Jeffry Dujin Bansing, 71 tahun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala seorang mangsa penumpang Proton Saga dan seorang pemandu Honda Jazz telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi,” ujarnya. –UTUSAN









