Kerajaan lulus pinjaman RM2 bilion kepada LTAT ambil alih BPlant 

Parlimen: Kerajaan lulus pinjaman RM2 bilion kepada LTAT ambil alih BPlant 

LTAT membuat pelaburan melebihi had ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan bersetuju menyediakan jaminan kerajaan dalam bentuk pinjaman RM2 bilion kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membeli semua saham Boustead Plantations Bhd. (BPlant).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jaminan itu bagi membolehkan LTAT melaksana tawaran am ke atas semua saham BPlant.

Bagaimanapun, Mohamad menafikan dakwaan jaminan itu dianggap sebagai kerajaan memberi geran tunai kepada LTAT.

MOHAMAD HASAN

“LTAT mempunyai kemampuan tetapi dengan jaminan kerajaan ini akan mempermudah lagi untuk mengurus permohonan untuk kita dapat kemudahan kewangan daripada institusi kewangan dalam negara.

“Dalam masa sama, jaminan kerajaan itu tidaklah tinggi sangat kadar faedah akan dikenakan oleh institusi kewangan.

“Selain itu, LTAT telah membuat pengumuman cadangan tawaran am ke atas semua saham BPlant, bagi memastikan LTAT memelihara kepentingan prinsip kesaksamaan serta melindungi kestabilan dan integriti pasaran modal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat semalam.

LTAT merupakan pemegang kepentingan utama dalam BPlant dan syarikat induknya, Boustead Holdings Bhd. LTAT ialah badan berkanun yang mengendalikan skim pencen untuk angkatan tentera.

BPlant merupakan salah satu anak syarikat kumpulan Boustead, namun,  berdepan masalah operasi dalaman antaranya hampir separuh pokok kelapa sawit BPlant berusi lebih 20 tahun dan mencatat hasil buah tandan sawit terendah berbanding syarikat sawit lain.

Selain itu, BPlant juga memerlukan perbelanjaan modal penanaman semula sebanyak RM597 juta bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sedang mencari dana tambahan berjumlah RM2 bilion sebelum akhir bulan ini untuk membantu membiayai LTAT supaya syarikat berkenaan tidak rugi.

LTAT sebelum ini dilapor merancang untuk membeli BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, susulan kegagalan cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam BPlant oleh LTAT dan Boustead kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).

Berikutan penamatan itu, LTAT juga mengumumkan ia bertujuan untuk meneruskan tawaran am BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

Pada harga tawaran RM1.55 sesaham, ia mewakili premium sebanyak 22 peratus berbanding harga dagangan terakhir BPlant sebanyak RM1.27 pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tindakan LTAT meneruskan tawaran am untuk pembelian BPlant bertujuan memastikan proses penstrukturan semula syarikat itu dapat diteruskan.

Katanya, penstrukturan itu akan diteruskan kepada pemegang saham minoriti membabitkan 30 peratus dalam kalangan awam dan 33 peratus yang dipegang Boustead Holdings Bhd. (Boustead).

“Ini bertujuan untuk memberi autonomi serta fleksibiliti kepada LTAT bagi menentukan hala tuju strategik serta meningkatkan potensi operasi BPlant dalam menjalankan aktiviti tambah nilai, sekali gus merealisasi potensi maksimum syarikat itu,” katanya.

Bagi memastikan jaminan kerajaan ini dimanfaat, Mohamad berkata, LTAT akan melaksana penstrukturan organisasi perniagaan menerusi Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25)

“Saya yakin isu legasi ini dapat diselesai. Penstrukturan kumpulan Boustead dapat dilaksana dengan komitmen semua pihak.

“Kejayaan penstrukturan ini akan membolehkan LTAT memperoleh portfolio lebih seimbang dan yang penting, kita mahu capai nisbah solvensi melebihi 100 peratus dan peningkatan pulangan pelaburan dari anak syarikat LTAT serta merealisasi visi LTAT menjadi kumpulan persaraan yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN