Pakar motivasi tersohor, juga bekas wartawan Utusan Melayu tokoh Maal Hijrah Kedah

Pakar motivasi tersohor, juga bekas wartawan Utusan Melayu tokoh Maal Hijrah Kedah 

SHUKRI Abdullah (tengah) disamping isterinya, Khadijah Zakaria dan anak-anak serta cucu mereka selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Kedah dalam sambutan di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Masa depannya pernah hampir gelap suatu ketika dahulu setelah terlibat dalam Demonstrasi Baling pada 1974, namun pakar motivasi tersohor, Dr. Shukri Abdullah bangkit semula sehingga mencapai kecemerlangan hidup.

Kegigihan beliau itu bukan sahaja diraih dalam kerjaya akademiknya, malahan dunia motivasi dan strategi belajar yang diceburinya sejak 1992 membolehkan Shukri diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Kedah sempena sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Kedah, hari ini.

Shukri, 76, yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Melayu pada tahun 70-an itu menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang mewakili Sultan Kedah 

Menurut anak jati Kampung Sungai Baru yang masih aktif dalam program motivasi itu, insiden yang mengakibatkan beliau turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua minggu itu juga menginsafkan, namun tidak mematahkan semangatnya.

“Akibat insiden itu, biasiswa saya ditarik balik dan sejak itu saya berubah. Saya letakkan semangat, kalau dulu nak jadi DO (Pegawai Daerah), bila kena tangkap mana boleh jadi lagi dah, jadi saya perlu cemerlang belajar sehingga ke luar negara.

“Akhirnya saya berjaya menjadi pelajar cemerlang di Universiti Sains Malaysia (USM) dan melanjutkan pengajian ke Universiti of Sussex dan Universiti of Essex, United Kingdom untuk pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bercerita lanjut, kata bapa kepada 10 cahaya mata itu, beliau sudah lebih 30 tahun bergelar pakar motivasi dan anugerah yang diterima kal ini merupakan satu penghargaan kepada kariernya dalam bidang pendidikan.

“Saya sebenarnya bukan pelajar cemerlang kerana ketika LCE dahulu saya cuma mendapat satu A sahaja. Pemohonan universiti pertama saya pun ditolak kerana keputusan tidak bagus dan saya kemudian menjadi wartawan di Utusan Melayu.

“Dari situlah saya pohon semula ke universiti dan diterima masuk ke USM. Kalau satu perkara yang saya boleh nasihatkan generasi muda hari ini adalah mereka kena tetapkan matlamat dalam hidup masing-masing,” katanya.

Shukri pernah menjadi pensyarah di Fakulti Pengajian Pembangunan Sains Kemasyarakatan USM sebelum berhenti untuk meneruskan misi lebih besar iaitu mendidik masyarakat khususnya para pelajar melalui pelbagai rancangan motivasi di stesen-stesen televisyen utama.

Beliau juga pernah menerbitkan buku berjudul ‘Belajar Dengan Berkesan’ pada 1990 yang merupakan karya pertama dan terkini pada tahun lalu menerusi buku bertajuk ‘Jadi Top Students’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN