ALOR SETAR: Tokoh akademik yang disegani dalam bidang arkeologi, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 1447 Hijrah, hari ini.
Sosok utama perintis kepada penemuan Tamadun Kedah Tua yang bertapak di Sungai Batu, Lembah Bujang sejak kurun kelapan sebelum Masihi itu menerima anugerah berkenaan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Mokhtar, 62, berkata, beliau agak terkejut dengan penganugerahan tersebut namun menganggap ia satu pengiktirafan dalam kerjayanya sebagai ahli arkeologi.
“Bila dimaklumkan saya terkejut, selalunya anugerah ini diberikan kepada tokoh agama. Ini kali pertama cendekiawan yang menjalankan penyelidikan menerima anugerah ini.
“Saya rasa ia sesuatu yang sangat baik untuk mengangkat tokoh akademik kerana bidang ilmu adalah asas kepada kemajuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1447 Hijrah di sini.
Mokhtar percaya anugerah itu juga sebagai mengiktiraf pencapaiannya yang berjaya membuktikan kepada dunia bahawa apa yang disebut oleh Al-Kindi (801-873) bahawa besi terbaik dunia datang daripada Kalah (iaitu nama panggilan Kedah ketika itu) dan Al-Biruni (973-1050) bahawa semua besi di Yemen dan Hindi adalah berasal dari negeri ini.
Beliau juga mendapati DNA pedang perang dibuat di Pakistan adalah bertepatan dengan DNA besi yang terdapat di Sungai Batu Merbok.
Tambahnya, pengiktirafan itu juga memberi semangat kepada beliau untuk meneruskan penyelidikan dan penerangan tentang kehebatan Kedah Tua di Sungai Batu termasuk di peringkat global.
“Saya akan terus menghasilkan penerbitan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa untuk Sungai Batu. Saya mendidik pelajar yang berminat, memberi ceramah dan motivasi kepada pelbagai agensi atas permintaan negeri dan negara,” katanya.
Beliau juga akan terus berkongsi tentang rekod ilmiah Islam yang menyebut nama Kalah yang dipercayai merujuk kepada lokasi Sungai Batu, sebagai pusat besi terbaik dunia.
“Penemuan ini mula dirungkai dalam dua tahun terakhir dan diyakini akan membawa impak lebih besar dalam masa tiga hingga empat tahun akan datang, khususnya dari aspek hubungan antara ketamadunan Islam dan Asia Tenggara,” jelasnya.
Pada majlis sama, Sultan Kedah turut berkenan menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Kategori Bandar kepada Masjid Jamek Badlishah, Yan dan Luar Bandar untuk Masjid Nurul Ehsan Kuala Ketil, Baling. – UTUSAN








