17 tahun menyepi, X-Factor kembali dan sedia andai dikritik - Utusan Malaysia

17 tahun menyepi, X-Factor kembali dan sedia andai dikritik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Walaupun sudah berumur, kami berlima masih boleh beri aura untuk semua terasa muda.”

Demikian kata kumpulan, X-Factor yang kini kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan melancarkan lagu baharu berjudul, Walu Walu selepas 17 tahun menyepi.

Tampil dengan genre muzik yang lebih segar, X-Factor mengakui mereka terbuka untuk menerima sebarang komen andai lagu tersebut dianggap tidak bersesuaian dengan usia.

Menurut Zach atau Zachery Francis Ubu, 49, kemunculan semula mereka sekadar mewarnai industri muzik, selain menafikan mahu bersaing dengan penyanyi generasi muda.

“Zaman sudah berubah, media sosial pun dihujung jari saja. Sekiranya ada komen negatif atau positif kami terima sahaja. Komen yang negatif atau positif bagi kami sesuatu yang bagus. Itu membuktikan ada orang yang sedar kehadiran kami.

“Kembalinya kami ke dalam industri ini bukan untuk bersaing dengan generasi baharu seperti Gen-Z. Kami mahu warnai lagi industri memandangkan trend sekarang di Hollywood pun ramai boyband yang buat kemunculan semula,” katanya.

Zach berkata demikian ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu baharu dan muzik video, Walu Walu di Urbanhive Putrajaya, semalam.

Tambah Jim atau Faizal Ezuan Eshak, 44, lagu Walu Walu hasil sentuhannya itu juga merupakan ‘salam perkenalan’ kembali kumpulan tersebut selepas sekian lama tidak bersama.

“Lagu ini dihasilkan lebih kepada untuk memaklumkan kembalinya X-Factor dalam industri. Sebab itu juga lagu yang dihasilkan lebih segar dan menyeronokkan.

“Selepas kemunculan kami di konsert kumpulan Elite tahun lalu, kami tidak sangka masih ada sambutan peminat. Jadi, kami terfikir mengapa tidak untuk menghasilkan sebuah lagu secara suka-suka.

“Ramai penyanyi yang buat kemunculan semula dengan adakan konsert, jadi kami berikan kelainan dengan hasilkan lagu baru. Selepas ini pun kami ada lagi sebuah lagu balada yang masih dalam proses rakaman,” katanya.

17 tahun tidak berhubung, Zach menafikan kumpulan itu terpisah kerana wujudnya salah faham, sebaliknya masing-masing memilih untuk fokus kepada komitmen tersendiri.

“Masing-masing sudah berkeluarga dan ada kerjaya sendiri. Kami tidak pernah mengumumkan tentang perpecahan kami secara rasmi, namun semua bawa haluan masing-masing. Tidak sangka pula kami masih diperlukan dari industri walaupun sudah lama tidak aktif,” ujarnya.

Selain Zach dan Jim, kumpulan yang terkenal dengan lagu 7251364 itu turut dianggotai Danny, Shah dan Fendi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN