LONDON: Sebuah kapal frigat tentera laut Russia dilaporkan melepaskan beberapa tembakan amaran bagi mengarahkan sebuah kapal layar awam yang mengibarkan bendera Britain menukar laluan berhampiran perairan negara itu pada Selasa.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia dan Kementerian Pertahanan Britain (MoD), tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan berlakunya pertembungan antara kedua-dua profil marin berkenaan.
Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan, anak kapal frigat Admiral Grigorovich tersebut mengesan sebuah kapal layar yang sedang bergerak pada laluan berbahaya dan berisiko merempuh kapal perang terbabit.
“Selepas beberapa usaha untuk mengadakan hubungan radio gagal, kapal frigat berkenaan melepaskan tembakan amaran, termasuk menggunakan senjata api kecil ke arah hadapan kapal layar tersebut.
“Kapal layar berkenaan kemudiannya menukar haluan dan beredar dari kawasan itu,” jelas kementerian tersebut.
Dalam pada itu, MoD Britain turut mengesahkan insiden tersebut dan menyifatkan tindakan melepaskan tembakan itu sebagai usaha mengelakkan pelanggaran selepas kapal Admiral Grigorovich gagal menghubungi bot awam berkenaan.
Lapor Reuters, pihak Russia mendakwa tembakan dilepaskan ketika kedua-dua aset marin itu berada pada jarak 150 meter, namun sumber yang rapat dengan insiden berkenaan mendakwa jarak sebenar kedua-duanya adalah kira-kira 457 meter.
Insiden dilaporkan berlaku dalam keadaan cuaca berkabut di Selat Inggeris, kira-kira 20 batu nautika ke selatan Isle of Wight, iaitu di luar perairan wilayah UK. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Sebelum ini pada April lalu, kapal Admiral Grigorovich dilaporkan pernah mengiringi beberapa buah kapal tangki yang membawa minyak Russia melalui Selat Inggeris.
Pihak Moscow menegaskan anak kapal mereka bertindak mematuhi peraturan maritim antarabangsa sepenuhnya dan mengambil semua langkah perlu bagi membendung sebarang insiden tidak diingini.
Insiden terbaharu ini berlaku selepas komando Britain pada Ahad lalu menyerbu dan memintas sebuah kapal tangki minyak sekatan milik Russia, Smyrtos yang berada di bawah rangkaian ‘armada bayangan’ di Selat Inggeris.
Operasi sulung seumpamanya itu bertujuan untuk melumpuhkan rantaian pendapatan hasil minyak yang digunakan Moscow bagi membiayai krisis peperangan di Ukraine.
Bagaimanapun, jurucakap MoD menegaskan penilaian awal mendapati insiden tembakan amaran pada Selasa itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan operasi pintasan pada Ahad, sebaliknya menyifatkannya sebagai insiden terpencil.










