PENYANYI, Anuar Zain sebenarnya berdepan banyak kekangan dalam menjayakan konsert ulang tahun ke-40 yang berlangsung di Stadium Malawati, baru-baru ini.
Lebih memberatkan apabila penyanyi ini terpaksa meneruskan juga konsert berkenaan ketika dunia menyaksikan kesengsaraan penduduk Palestin berdepan kekejaman Israel.
Anuar akui berat hati. Sebagai beragama Islam dan prihatin terhadap nasib rakyat negara itu, dia juga terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin ketika ini. Jadi, untuk mengadakan konsert dalam keadaan sekarang bukan keputusan mudah.
Penyanyi ini melapangkan sedikit ruang di awal konsertnya malam Sabtu lalu, mengajak peminat bertafakur dan mendoakan saudara Islam di sana.
“Saya mengajak peminat tunjukkan sokongan, kasih sayang, belas ihsan dan simpati kepada saudara kita di sana. Walaupun kita bergembira, hati kita tetap bersama mereka.
“Solidariti saya terhadap rakyat Palestin sangat kuat. Saya menangis melihat kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dianiaya. Mereka tidak berdaya dan dunia hanya menyaksikan kesengsaraan mereka.
“Mungkin saya sembunyikan perasaan daripada pengetahuan umum. Hakikatnya, hati saya rabak mengenangkan kekejaman yang mereka hadapi.
“Penduduk di sana cuma ada doa dan kasih sayang dari kita di sini. Jika ada rezeki berinfaklah untuk membantu mereka,” katanya pada sidang media.
LUNAS HASRAT PEMINAT
Peminat sebetulnya lama menantikan konsert Anuar Sabtu lalu yang dibuat lebih satu dekad selepas konsert solo terakhirnya di lokasi yang sama.
Malah, hujan lebat berserta kesesakan lalu lintas yang luar biasa tidak sedikitpun menjejaskan kedatangan 8000 penonton ke konsert tersebut.
Anuar berjaya melunaskan hasrat peminat dengan membawakan 20 lagu yang kebanyakannya atas permintaan ramai. Kesungguhannya memberikan persembahan terbaik meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan, wajar diberi pujian.
“Kalau nak jadi, dia akan jadi. Saya tak cari batuk, hilang suara. Saya sangat bersyukur kerana masalah ini menjadi teruk satu minggu sebelum konsert ini berlangsung.
“Walaupun suara saya terganggu, semangat saya masih kuat. Apa juga yang berlaku, the show must go on. Paling penting saya kena maklumkan tentang keadaan saya kepada peminat yang datang.
“Memang saya kecewa lebih-lebih lagi ada lagu yang saya tak mampu bawa dengan sebaik mungkin. Tapi saya yakin, ada sebab kenapa semua ini berlaku. Paling penting, saya bersyukur kerana saya dapat lakukan yang terbaik untuk peminat,” kongsinya.