Kekurangan guru empat subjek teras kritikal

Kekurangan guru empat subjek teras kritikal

Kurikulum Persekolahan 2027 berhasrat mengunakan pendekatan pendidikan karakter untuk melahirkan pelajar berkualiti. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berdepan kekurangan guru bagi empat subjek kritikal kerana sukar mendapatkan calon dalam kalangan graduan universiti awam untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tenaga pengajar kerana bersara atau meletakkan jawatan.

Empat subjek tersebut ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi serta Pendidikan Islam yang juga mata pelajaran teras.

Masalah tenaga pengajar dalam keempat-empat subjek itu merupakan antara isu kekurangan 20,000 guru yang pernah dibangkitkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, antara punca utama kekurangan guru mata pelajaran berkenaan kerana tiada pangkalan data untuk melihat keperluan antara pelapis guru dan graduan universiti bagi mengisi kekosongan pada masa akan datang.

Katanya, masalah itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan antara subjek tertentu apabila kerajaan pada satu masa dilihat memfokuskan pengambilan pengajar bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sehingga gagal mengambil kira aspek keperluan guru Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi serta Pendidikan Islam.

“Masalah utama kita tiada data unjuran terhadap keperluan guru subjek itu bagi menampung kekosongan yang bakal ditinggalkan kerana bersara dan berpindah ke bahagian lain dalam kementerian atau jabatan pendidikan negeri mahupun meninggal dunia.

“Kita patut ada data seperti ini, misalnya tiga tahun lagi, 500 guru Bahasa Melayu bakal bersara. Jadi untuk persediaan, maka, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi perlu menyiapkan pengambilan graduan untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Minggu lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan Kementerian Pendidikan sukar mendapat calon guru daripada universiti awam untuk keempat-empat subjek berkenaan.

Oleh demikian, kerajaan sedang memperluaskan pengambilan guru kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal.

Dalam jawapan sama, kementerian juga memaklumkan isu kekosongan guru adalah bersifat sementara disebabkan oleh warga pendidik bersara, berpindah ke bahagian dalam kementerian atau jabatan pendidikan negeri, meninggal dunia, meletak jawatan dan perjawatan akan diisi dengan lantikan baharu berdasarkan jumlah dikenal pasti.

Ketika ini, terdapat kira-kira 410,389 guru di seluruh negara di 10,233 buah sekolah rendah dan menengah.

Fouzi berkata, kekurangan warga pendidikan khususnya subjek kritikal seperti Bahasa Melayu dan Inggeris serta Pendidikan Islam boleh memberi kesan dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) apabila beban guru bertambah.

“Ia tidak termasuk jika guru cuti bersalin, kena hadir kursus dan sambung belajar hingga menyebabkan ada sekolah yang pernah mengalami kekurangan sehingga 10 guru pada satu masa, sekali gus bebanan kekosongan itu terpaksa ditanggung oleh tenaga pengajar lain.

“Jadi berlaku bebanan dan tekanan, maka ia menyumbang kepada masalah guru terpaksa bersara awal kerana tidak mampu menanggung tugas tambahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN