‘Kami pakar buat filem, tak pakar promosi’

‘Kami pakar buat filem, tak pakar promosi’

Sharifah Shahora bersama pengarah filem, Raja Mukhriz di Malam Gala Tayangan Perdana filem Pagari Bulan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak cuma berpeluk tubuh, penerbit dan pelakon, Sharifah Shahora, 49, mengakui memperuntukkan RM500,000 bagi tujuan promosi filem Pagari Bulan yang diterbitkan di bawah syarikatnya, Eleven Field Creative Sdn Bhd.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shahora berkata, pihaknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada reputasi syarikat yang mengendalikan bahagian promosi untuk filem berkenaan namun kesal kerana terdapat kelemahan tertentu yang menyebabkan ia tidak mencapai sasaran.

“Kami dah serahkan tugas mempromosi itu kepada syarikat pengedar. Harus difahami bahawa kami ini pakar buat filem tetapi tiada kepakaran buat promosi. Namun kami guna juga platform media sosial sama ada X atau Tiktok untuk bantu promosi.

“Bajet itu ada pada pengedar untuk promosi, jadi tentulah kami harapkan orang yang pakar uruskan perkara itu. Kita ambil mereka pun kerana mereka sudah lama berdiri sebagai satu jenama yang gah.

“Tak sangkalah, rupanya mereka kurang pakar atau mungkin juga modul atau blueprint strategi promosi mereka sudah lapuk dan tidak lagi sesuai digunapakai untuk era ini,”katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Shahora dalam satu kenyataan mendakwa filem Pagari Bulan seakan tidak mendapat keadilan kerana terdapat beberapa pawagam yang bertindak mengurang dan membatalkan tayangan filem tersebut meskipun belum mencukupi 14 hari tarikh wajib tayang.

Perkara itu turut disuarakan pelakon cameo filem tersebut, Michael Ang menerusi satu video ringkas yang dimuat naik di Instagram semalam.

Selain itu, kata Shahora, dia menyedari sudah terlambat untuk merancakkan lagi promosi filem tersebut kerana ia sepatutnya dibuat sekurang-kurangnya sebulan atau dua bulan lebih awal.

“Saya sedar ramai yang kata mereka baru tahu mengenai wujudnya filem Pagari Bulan pada waktu ini. Maknanya, kesalahan kita adalah kurang pada promosi yang sepatutnya dibuat sebulan atau dua bulan lebih awal.

“Kita ada gesa kepada syarikat pengedar. Kita tahu mereka ada buat cuma mungkin kurang menyebabkan promosi mengenai filem ini tidak sampai kepada penonton dan masyarakat.

“Kalau ditanya, memanglah saya kesal, tetapi sudah terlambat,”katanya.

Dalam pada itu, kata Shahora, dia juga kesal kerana tindakan pawagam membatalkan dan mengurangkan tayangan filem ini telah menyebabkan peminat filem tempatan langsung tidak berkesempatan untuk pergi menonton.

“Hari hujung minggu adalah hari di mana orang ramai ada masa nak pergi tonton wayang. Tapi bila orang datang ke pawagam, pekerja di kaunter kata tak ada dan pulangkan duit penonton.

“Sebenarnya ramai penonton, peminat termasuk rakan-rakan artis yang mengadu pada saya berhubung isu ini. Mereka periksa tiket tayangan di atas talian ada, tapi bila sampai pawagam kata tak ada.

“Saya salahkan pengedar yang tak pantau perkara ini. Kita dah buat surat pada bahagain wajib tayang untuk bantu. Kami harap janganlah diskriminasi untum filem begini,”katanya.

Filem Pagari Bulan mula ditayangkan pada 5 Oktober lalu di seluruh pawagam dan dibarisi oleh pelakon hebat seperti Nazeera Sardi, Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh dan Alvin Wong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN