Kad Prihatin Siswa mula ganti kad matrik di UKM

Kad Prihatin Siswa mula ganti kad matrik di UKM

MOHD. EKHWAN Toriman menunjukkan Kad Prihatin Siswa pada sidang akhbar selepas tinjauan pendaftaran pelajar baharu di UKM Bangi. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Selepas setahun dalam tempoh percubaan, semua pelajar baharu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak lagi menggunakan kad matrik sebagai dokumen diri.

Sebaliknya menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, setiap pelajar wajib memakai Kad Prihatin Siswa yang turut memiliki fungsi sama sebagai kad debit sebagaimana dilaksanakan di semua universiti awam lain di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Bagi penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia disalurkan terus kepada kad tersebut dengan kerjasama pihak RHB Bank.

“Kad baharu itu boleh dianggap seperti pusat sehenti untuk pelbagai tugas termasuk pembayaran yuran dan pembelian barangan dalam kawasan kampus,” kata beliau pada sidang akhbar khas di UKM di sini semalam selepas sesi proses pendaftaran penuntut baharu universiti itu.

Menyentuh isu kos sara hidup yang semakin tinggi, Mohd. Ekhwan berkata, pihak UKM sedar mengenai perkara itu dan antara dilakukan ialah penyediaan Menu Rahmah di kesemua kafe universiti tersebut dengan menawarkan hidangan berkhasiat serendah RM3.50.

Bahkan ujar beliau, pihak Tabung Zakat dan Tabung Kebajikan Hal Ehwal Pelajar UKM ada menyediakan pelbagai skim bantuan yang boleh dimohon mudah secara atas talian selain hampir 100 peratus pelajar tahun pertama menginap dalam kolej asrama disediakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, cuma seramai 59 pelajar mengesahkan penolakan tawaran rasmi untuk mereka menyambung pengajian ijazah pertama berbanding 49,484 permohonan diterima.

Seramai 4,286 pelajar peringkat pengajian ijazah sarjana muda untuk sesi 2023/2024 hadir melaporkan diri dan perlu mengikuti Minggu Apresiasi Watan selama tempoh lima hari.

Menyentuh isu tular menerusi Facebook melibatkan seorang yatim piatu miskin, Aiman Safwan Abdullah meneruskan pengajiannya di UKM, beliau berkata, nasib pelajar itu dibela dengan kos keseluruhan dan tempat tinggal penuntut ini ditanggung pihak universiti sepanjang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi).

“UKM juga beri Bantuan Siswa Sulung meliputi yuran pengajian sebanyak RM20,000 dan penginapan asrama kolej dengan nilainya RM2,880 setiap tahun,” kata Mohd. Ekhwan. – UTUSAN

Kapsyen: MOHD. EKHWAN Toriman menunjukkan Kad Prihatin Siswa pada sidang akhbar selepas tinjauan pendaftaran pelajar baharu di UKM Bangi. – UTUSAN/AMREE AHMAD

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya