PONTIAN: Tidak sampai empat jam, pelbagai barangan keperluan harian habis dijual kepada orang ramai yang menyerbu program Jualan Rahmah Bergerak@ Mobile di Dewan Haji Salim, Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, di sini.
Barangan yang menjadi tumpuan antaranya ialah ayam, beras 5 kilogram (kg) dan 10kg, telur, minyak masak paket 1kg dan gula pasir kasar.
Seorang pembeli, Salliza Salekan, 38, berkata, dia bersyukur dan gembira dengan penganjuran program Jualan Rahmah ini bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapat barangan keperluan dengan harga murah.
Katanya, walaupun terpaksa berbaris panjang , ia bukan halangan bagi membeli barangan seperti beras, minyak masak, gula dan sebagainya untuk keluarga.
“Saya berpuas hati dengan harga yang ditawarkan, tidak dapat seperti ini jika pergi ke pasar raya atau kedai biasa sekaligus menjimatkan perbelanjaan harian keluarga,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi Ramli Imbia, 65, program Jualan Rahmah di kawasan luar bandar menepati permintaan orang ramai bagi mendapatkan barangan yang lebih murah pada ketika ini.
Katanya, sebagai contoh harga jualan beras 10kg adalah RM28.99 dan pek 5kg adalah RM14.49 di Jualan Rahmah berbanding harga yang lebih mahal jika dibeli di luar.
Jelas Ramli, begitu juga dengan harga ayam yang dijual iaitu RM6.79 sekilogram berbanding RM9.40 sen sekilogram.
“Diharap program ini dapat diadakan lebih kerap terutama di kawasan luar bandar tanpa perlu orang ramai ke pekan atau bandar bagi mendapatkan barangan keperluan harian mereka,” ujarnya.
Saharah Mohamad, 63, pula gembira kerana dapat membeli barangan keperluan harian seperti beras dan minyak masak pada harga lebih murah jika dibandingkan harga di tempat lain.
Katanya, dengan adanya Jualan Rahmah ini, masyarakat berpeluang membeli barangan dengan kuantiti yang lebih banyak bagi menampung kegunaan untuk tempoh seminggu atau dua minggu.
“Saya membeli beberapa paket minyak masak 1kilogram yang dijual RM2.50 sen dan gula pasir kasar (RM2.85 sen) sebungkus bagi kegunaan harian “ jelasnya yang menetap di Kampung Maju Jaya.
Sementara itu, jurucakap Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Pontian memberitahu, sebanyak 750 ekor ayam, 600 kampit beras 5kg dan 700 kampit beras 10kg dijual dalam program tersebut. – UTUSAN










