Johor lepas Wolbachia kawal peningkatan denggi

Johor lepas nyamuk Wolbachia kawal peningkatan denggi

LING Tian Soon (depan tengah) bergambar bersama petugas kesihatan selepas melepaskan ribuan nyamuk Wolbachia bagi mengawal peningkatan kes denggi di negeri ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor terpaksa melepaskan lebih daripada 100,000 ekor nyamuk Wolbachia sebagai langkah mengawal peningkatan kes demam denggi yang semakin meningkat di negeri ini.

Nyamuk Wolbachia mampu memutuskan rantaian jangkitan denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, operasi pelepasan nyamuk itu dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di dua lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, di sini.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan dibuat berikutan peningkatan kes kumulatif sehingga minggu Epid ke 41 tahun ini iaitu sebanyak 8,233 kes, peningkatan 211 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pada minggu Epid 41, sebanyak 239 kes demam denggi dilaporkan dan bilangan ini melibatkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding 218 kes bagi minggu sebelumnya.

“Daerah Johor Bahru merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 179 kes atau 74.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti daerah Kulai sebanyak 21 kes,” katanya kepada pemberita.

Tambah Tian Soon, spesis nyamuk Wolbachia mengandungi bakteria yang berupaya merencatkan virus denggi di dalam badan nyamuk sekali gus memutuskan rantaian jangkitan denggi.

“Kaedah kawalan itu merupakan pendekatan alternatif dalam mengawal dan mencegah penyakit demam denggi, selain langkah-langkah lain yang turut diambil.

“Operasi pelepasan nyamuk itu yang dibuat sepanjang tempoh lapan minggu itu akan menyebabkan peningkatan sementara hurungan nyamuk di lokaliti terlibat, namun, penduduk tidak perlu berasa bimbang.

“Ini kerana nyamuk tersebut tidak menyebarkan virus denggi apabila mendekati manusia. Pada masa sama, komuniti setempat juga diminta untuk meneruskan meneruskan aktiviti cari dan musnah habitat nyamuk aedes di sekitar kawasan kediaman mereka,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN