KANGAR: Seorang pejuang kanser payudara menempuh perjalanan bermotosikal sejauh 3,000 kilometer dalam misi jelajah solo mengumpul dana bagi Projek Bra Prosthesis dan Mastektomi untuk pesakit kurang berkemampuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sarlinawati Abdul Mues, 47, berkata, objektif kembara tersebut adalah mendapatkan dana RM50,000 untuk 100 orang sempena Bulan Kanser Sedunia Oktober ini.
“Ramai pesakit kanser lemah semangat dan kurang berkeyakinan setelah disahkan menghidap masalah itu dan saya ingin buktikan kepada mereka, kita perlu kuat untuk melawan kanser.
“Kanser bukan tiket untuk mati. Itulah kata-kata yang ditanam dalam hati untuk melawan kanser yang saya alami walaupun pada awalnya agak runsing selepas disahkan menghidapbreast carcinoma tahap empat,” katanya ketika ditemui semalam.
Ibu tunggal itu tiba di Perlis dalam rangka kembara solonya itu dan akan menjelajah ke beberapa lagi negeri lain bagi menyantuni pesakit selain mengutip dana projek khas tersebut.
Menurut Sarlinawati yang mengalami kecederaan kekal pada bahagian tulang belakang sehingga terpaksa dimasukkan besi, dia tidak mengalami sebarang masalah sepanjang kembara solonya itu.
“Sepanjang perjalanan bermula 2 Oktober lalu dengan menaiki skuter dari Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya dan melintasi beberapa negeri, hanya cuaca memberi cabaran kepada saya.
“Kini boleh dikatakan hampir 75 peratus kembara solo ini telah berjaya dilaksanakan dan dijangka menamatkan perjalanan ini di Ipoh, Perak dalam bulan ini juga,” jelas anak jati Kuala Lumpur itu.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank CSM (552068522859) dengan menulis nota transaksi RIDE SOLO CSM. –UTUSAN










