PETALING JAYA: Peminat sukan tanah air perlu percaya kepada setiap proses dan tidak boleh terlalu menekan jaguh pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk berlari di bawah 10 saat (s).
Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, Azeem sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri dan perancangan jurulatih, Ken Harnden amat penting untuk menentukan hala tuju atlet negara itu.
“Kita perlu biarkan dia jalani proses bersama Harnden, maknanya dia ‘enjoy’ dengan apa yang dia lakukan. 10.11s untuk gangsa di Sukan Asia Hangzhou adalah satu pencapaian yang sangat dibanggakan.
“Masa yang dicatatkan juga tidak jauh berbeza masa terbaiknya (PB) iaitu 10.09s. Memang kita semua nak tengok dia lari bawah 10s dan dia pun semestinya ada impian yang sama namun, kita semua perlu sabar.
“Biarkan proses itu berjalan, biarkan persaingan sihat berlaku. Di peringkat Asia Tenggara, dia juga ada saingan hebat daripada atlet Thailand, Puripol Boonson yang catatkan 10.02s di Sukan Asia Hangzhou,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan 100m negara mengotakan janjinya untuk menghadiahkan pingat buat negara apabila menyumbangkan gangsa dalam acara riben biru pada Sukan Asia Hangzhou.
Azeem, anak kelahiran Teluk Intan, Perak menamatkan penantian pingat dalam acara itu selepas kali terakhir disumbangkan oleh Datuk Rabuan Pit yang merangkul emas di Sukan Asia New Delhi, 1982.
Dalam acara tersebut Azeem mencatatkan masa 10.11s untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang pelari China, Xie Zhenye yang memenangi emas dengan 9.97s dan Boonson meraih perak dengan catatan 10.02s.
DIGANGGU
Mengulas lanjut, Nazmizan berkata, apa yang penting ketika ini ialah, Azeem tidak diganggu oleh mana-mana pihak dan dia hanya perlu mengikut perancangan jurulatih untuk mengikuti mana-mana kejohanan.
“Kita tidak mahu Azeem tercedera, jurulatihnya pasti tahu mana kejohanan terbaik yang perlu disertainya. Jadi, kita jangan ganggu dia, tidak perlu panggil untuk sertai kejohanan-kejohanan biasa,” katanya.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan apabila pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu terkandas di peringkat separuh akhir dengan catatan 10.50s.
“Situasi Khairul Hafiz sukar dijangka kerana dia sebelum ini mengalami kecederaan dan sukar untuk kembali ke prestasi sebenar seperti menjuarai emas di Sukan SEA Kuala Lumpur dahulu.
“Situasi sama akan menimpa mana-mana pelari pecut, sebab itu saya cakap jangan terlalu menekan Azeem. Kita bimbang dia cedera. Apa-apa pun, Khairul Hafiz masih boleh namun, perlu berusaha untuk kembali ke prestasi sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, kem olahraga negara kelmarin juga mendapat khabar gembira menerusi atlet 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy yang meraih gangsa dengan catatan 52.58s di Stadium Olimpik Hangzhou, sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan miliknya 51.80s.
Dalam acara itu, pelari Bahrain menamatkan saingan di kedudukan dua teratas menerusi Adekoya Oluwakemi Mujidat yang meraih emas dengan catatan 50.66s, manakala Salwa Eid Naser (50.92s) membawa pulang perak.- UTUSAN










