KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan Malaysia dalam membantu mangsa di Semenanjung Gaza, Palestin, berikutan sekatan oleh Israel terhadap bekalan keperluan asas antara yang menjadi tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Tan Hong Pin [PH-Bakri] akan bertanya soalan itu kepada Menteri Luar Negeri menerusi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pukul 10 pagi ini.
Datuk Idris Ahmad [PN-Bagan Serai] akan meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan akta sedia ada yang mampu dikuat kuasa kepada negara jiran berhubung isu jerebu sehingga memberi kesan terhadap Malaysia.
Syerleena Abdul Rashid [PH-Bukit Bendera] pula akan meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan pandangan tentang infrastruktur kritikal yang diperlukan untuk negara membangun mengambil kira matlamat Malaysia menubuhkan tapak pelancaran angkasa lepasnya sendiri.
Bagi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, Datuk Suhaimi Nasir [BN-Libaran] meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan jika terdapat inisiatif membantu golongan penjaja tanpa premis mendapatkan lesen dan lokasi berniaga.
Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] menjelaskan jika kerajaan berhasrat meningkatkan keupayaan Jakim dengan menambah kakitangan yang berkepakaran, kemudahan serta teknologi terkini dalam mengesan bahan yang digunakan dalam setiap bahan diselidiki setelah Pensijilan Halal Malaysia telah diterima di peringkat antarabangsa.
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [PH-Bandar Tun Razak] meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya ancaman siber, yang menggunakan alatan kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam kata laluan, membocor maklumat dan menipu pengguna mengakibatkan pelanggaran data dan kerugian kewangan.
Bagi aturan urusan mesyuarat dan usul-usul, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membentang Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 bacaan kali yang kedua.
Ia kemudian disusuli pembentangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2023.
Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023; RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023; RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023. – UTUSAN










