Isu LCS: Pengerusi, ahli PAC wajar bentang, gulung sendiri laporan prosiding  - Utusan Malaysia

Isu LCS: Pengerusi, ahli PAC wajar bentang, gulung sendiri laporan prosiding 

Tentera Laut Diraja Malaysia dijadual menerima lima kapal LCS serentak pada 2029 dan projek itu memerlukan kos tambahan RM2.098 bilion lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpandangan, laporan prosiding termasuk berkait kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang akan dibentang pada Isnin minggu depan, wajar dibentang dan digulung sendiri oleh Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasanya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, menyorot amalan semasa pembentangan, perbahasan dan penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, Jun lalu, ia dilakukan sendiri oleh menteri bertanggungjawab untuk setiap isu dibangkitkan dalam LKAN.

Oleh itu, PAC melihat ada kewajaran untuk laporan-laporan prosidingnya termasuk projek LCS dibentang dan digulung sendiri oleh jawatankuasa itu.

“Semasa usul perbahasan dan penggulungan LKAN pada mesyuarat kedua pada Jun lalu, ia dilakukan oleh menteri yang bertanggungjawab untuk setiap isu LKAN yang dibangkitkan.

“Oleh itu, saya berpandangan, bahawa laporan PAC wajar dibentang dan digulung oleh Pengerusi PAC dan ahli-ahli Parlimen PAC sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan kemajuan projek pembinaan LCS itu adalah bagi tempoh Oktober 2022 sehingga Mei 2023.

PAC sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Setakat Ogos 2022 menurut jadual asal, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserah kepada TLDM.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, akan memastikan laporan PAC berhubung projek LCS dibahas di Parlimen.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, PAC menyambut baik langkah membahaskan laporan kemajuan LCS seperti yang dimaklumkan oleh Johari.

“Kami menyambut baik kerana langkah berkenaan membuktikan Parlimen mengambil langkah proaktif sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Ini merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada Parlimen, tetapi juga PAC kerana buat pertama kali, laporan jawatankuasa ini akan dibahas berbanding sebelum ini yang mana laporannya hanya dibentang sahaja.

“Oleh itu, saya akan berbincang lebih lanjut dengan Johari berhubung mekanisme perbahasan laporan PAC kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada mesyuarat Dewan Rakyat ketika pembentangan dan perbahasan LKAN pada Jun lalu, ahli-ahli Parlimen pembangkang membantah laporan itu dibahas kerana terdapat undang-undang memperuntukkan ia boleh dibentang tanpa perbahasan. 

Bagi mereka, daripada membahas laporan LKAN, adalah lebih baik untuk ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan laporan-laporan disediakan oleh PAC.

Selain laporan kemajuan projek LCS, terdapat tiga lagi laporan PAC akan dibentang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung dari 9 Oktober hingga 30 November depan.

Ia terdiri daripada Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dijadual dibentang pada 11 Oktober.

Selain itu, Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan Laporan Menteri Kewangan (Diperbadankan) – Felcra Berhad akan dibentang, manakala tarikhnya akan ditetapkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya