Ismail Sabri gesa kerajaan segera gubal dan laksana Akta Pendanaan Politik - Utusan Malaysia

Ismail Sabri gesa kerajaan segera gubal dan laksana Akta Pendanaan Politik

ISMAIL Sabri Yaakob (empat kiri) semasa menghadiri Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu segera menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap ahli politik di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses merangka RUU itu telah bermula semasa beliau menerajui kerajaan sebelum ini namun, ia belum dibentangkan dan dilaksanakan sehingga kini.

Maka, beliau berharap kerajaan Malaysia Madani dapat menyegerakan proses penggubalan RUU berkenaan bagi membolehkan Akta Pendanaan Politik dikuatkuasakan.

Beliau berkata, akta tersebut akan memberi ruang kepada parti-parti politik di negara ini mengumpul dana secara sah kerana setiap sumbangan akan diisytiharkan.

Pada masa ini, parti-parti politik sukar untuk mengumpul dana awam malah, tidak dibenarkan untuk berniaga mahupun menubuhkan anak syarikat.

“Agak membahayakan kepada parti politik sekarang ini. Parti politik tidak boleh berniaga, tidak boleh ada anak syarikat. Kalau tidak boleh berniaga mana parti hendak dapat duit.

“Kalau UMNO, (kutip) RM1 seorang (ahli) untuk sekali seumur hidup. Dengan RM1 macam mana UMNO ada dana untuk membantu parti bergerak dan menempuh pilihan raya, jadi tentu perlu mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan 2023 Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri mencadangkan agar sebuah badan pengawasan bebas ditubuhkan dan diberi kuasa untuk melaksanakan audit dan semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik.

Badan pengawasan bebas ini penting bagi memastikan pegawai awam khususnya ahli politik mematuhi standard yang telah dipersetujui dan diterima umum.

“Badan ini perlu dianggotai oleh individu-individu yang mempunyai watak yang tidak tercalar dan kelayakan yang tidak dapat dipertikaikan. Badan ini juga harus mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pembetulan, termasuk mengesyorkan tindakan disiplin terhadap individu yang melanggar standard ditetapkan,” katanya.

Hadir sama adalah Pengerusi ADFIM, Izwan Zainuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Arshad Mohamad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Credit Corporation, George Taitim Tulas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN