PETALING JAYA: Malaysia menghargai sokongan berterusan Perancis terhadap agenda peralihan tenaga dan transformasi ekonomi negara khususnya melalui penglibatan aktif syarikat-syarikat utama seperti ENGIE, Total dan Thales.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penglibatan syarikat gergasi Perancis dalam sektor tenaga bersih dan teknologi canggih merupakan simbol kerjasama erat yang menyokong pembangunan mampan Malaysia serta memperkukuh hubungan dua hala dalam jangka panjang.
“Saya juga menekankan kepentingan komitmen pihak Airbus terhadap penghantaran pesawat A330 Neo seperti yang telah dipersetujui bersama Malaysia Aviation Group (MAG) bagi memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan yang efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Perancis, François Bayrou.
Perdana Menteri memaklumkan, AirAsia telah menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis melalui komitmen pembelian sejumlah pesawat Airbus, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam industri penerbangan antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai kerjasama strategik termasuk pelaburan bernilai tinggi dalam sektor aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, serta kerjasama dalam bidang tenaga bersih, pertahanan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU), saya yakin hubungan erat ini akan terus berkembang, sejajar dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang lebih inklusif,” katanya.
Anwar turut menyampaikan undangan rasmi kepada Bayrou untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat sebagai usaha memperteguhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis. – UTUSAN










