SHAH ALAM: Selangor menawarkan Insentif Mama Kerja sebanyak RM1,000 sebagai bantuan bagi meringankan bebanan kos penjagaan anak untuk membolehkan golongan ibu di negeri ini bekerja.
Bantuan tersebut pada peringkat awal menyasarkan 5,000 penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta secara one-off daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, insentif itu diperkenalkan setelah melihat jumlah golongan tersebut berkerjaya adalah rendah berbanding lelaki.
“Statistik terkini Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor cuma 69.9 peratus, berbanding lelaki iaitu sebanyak 83.5 peratus ketika ini.
“Selain itu, insentif ini merupakan salah satu daripada janji dalam ‘Tawaran Kita Selangor‘ dalam 100 hari yang dijanjikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ogos lalu,” katanya selepas merasmikan Insentif Mama Kerja, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri bercadang untuk meningkatkan jumlah penerima pada masa hadapan berbanding 5,000 penerima ketika ini.
“Syarat kelayakan untuk memohon insentif ini adalah pemohon harus lahir atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun dan mengundi di negrin ini serta mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Bantuan tersebut terhad kepada mereka yang mempunyai tiga orang anak berusia 12 tahun ke bawah dan bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas). Permohonan dibuka mulai 1 November ini,” jelasnya.
Katanya lagi, selain insentif tersebut kerajaan negeri akan memperkenalkan Kerangka Ekonomi Penjagaan (Economy Care) Selangor bagi membantu wanita bekerja yang mempunyai anak.
“Lebih ramai wanita bekerjaya dapat meningkatkan Keluaran Dalam Kasar Negeri (KDNK) negeri, sekaligus dapat merancakkan ekonomi negeri,” ujarnya. – UTUSAN