BENTONG: Kerajaan dan pihak berkuasa diminta untuk menghormati sistem demokrasi pilihan raya negara ini dengan tidak melakukan sebarang ugutan kepada rakyat yang mahu menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menerima pelbagai ugutan bukan sahaja dalam kalangan kepimpinan parti tetapi orang ramai yang mendakwa mereka bimbang dan takut dengan bermacam-macam ugutan menjelang hari pengundian pilihan raya pada Sabtu ini.
“Saya dengar tadi daripada rakan-rakan takut macam-macam ugutan. Pada saya, ini amalan demokrasi, tidak payah ugut siapa-siapa, tidak perlu takut. Bagi saya dalam amalan demokrasi ini, berikan siapa sahaja untuk bersuara tentukan hak mereka,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Simpang Pelangai, semalam.
Sebelum ini, jentera PN mendakwa kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan parti itu pada PRK Pelangai menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.
Terdahulu, Hamzah mendakwa orang ramai khususnya penjawat awam takut untuk menghadiri ceramah PN kerana bimbang berhadapan tindakan oleh pihak berkuasa.
Katanya, mereka tidak perlu bimbang sekiranya mahu perubahan berlaku dalam negara yang kini berdepan pelbagai masalah.
“Pegawai-pegawai kerajaan cukup-cukuplah hendak takut apa? Takutlah Allah, takutlah kepada anak cucu cicit kamu. Marilah kita bersama-sama, bangun dan bersatu demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya. – UTUSAN