ADA pelbagai cara untuk mendapatkan ketenangan dalam menjalani kehidupan seharian.
Antaranya termasuk membela ikan yang bukan sahaja tidak memerlukan kos yang tinggi, bahkan mampu menjadi terapi minda.
Perkara itu diakui remaja, Nurul Iman Abdull Rahim, 18, yang mula minat membela ikan selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.
Kongsinya, minat itu semakin bercambah selepas ikan-ikan yang dibela di dalam akuarium miliknya sentiasa membuatkan dirinya berasa lebih tenang.
“Pernah satu hari saya rasa serabut dan bimbang dengan keputusan SPM yang akan keluar.
“Saya masuk bilik melihat ikan-ikan berenang, automatik membuatkan saya tersenyum dan terleka dengan gelagat mereka,” katanya yang berjaya meraih 8A dalam SPM.

TEMAN SETIA
Hobi di masa lapang itu juga membantu Nurul Iman yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang menghafal al-Quran dan menelaah pelajaran.
Walaupun hanya berpeluang meluangkan masa bersama ikan peliharaan itu setiap kali musim cuti persekolahan, namun masa yang terhad itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya.
“Setiap pagi dan malam saya akan mengulang hafalan al-Quran. Saya letak meja belajar di sebelah akuarium kerana haiwan ini bagaikan sudah menjadi kawan rapat saya ketika di rumah.
“Kalau rasa susah nak ingat sesuatu ayat, saya menoleh untuk melihat akuarium sebentar dan mencari ketenangan. Alhamdulillah, dengan izin Allah hafalan menjadi lancar,” katanya yang menghafal 30 juzuk al-Quran sejak di tingkatan tiga.
Nurul Iman yang kini melanjutkan pengajian di Darul Quran berkata, beliau membela enam ekor ikan terdiri daripada tiga jenis iaitu ikan emas comet, ikan koi dan lampam sungai.
Setiap jenis ikan dibeli pada harga antara RM12 hingga RM25.
Nurul Iman turut melakukan rujukan bagi mendapatkan panduan dalam memastikan ikan peliharaannya mampu hidup lebih lama dalam persekitaran sempurna.
“Paling penting jangan bagi makanan berlebihan kepada ikan emas, cukupdua kali sehari sebab ia makan dalam kadar yang sedikit.
“Ia boleh bertahan tanpa makan selama beberapa hari kerana kemampuannya menyerap nutrien diperlukan daripada nutrien yang terlarut dalam air akuarium itu sendiri tanpa memberi kesan kepada kesihatannya,” katanya.
DIJAGA RAPI
Daripada aspek penjagaan, kongsinya, beliau akan meletakkan air antiklorin, air daun ketapang dan bakteri fotosintesis serta penapis air.
Penapis mesti bersesuaian dengan ukuran akuarium. Jika saiz akuarium besar, seeloknya menggunakan dua penapis tetapi jika kecil memadai dengan satu penapis sahaja.
“Saya pilih penapis yang mempunyai dua fungsi iaitu menapis air dan membekalkan buih oksigen.
“Ikan emas akan membesar mengikut ruang habitat persekitaran. Kandungan di dalam akuarium juga penting. Suhu pula mesti dikekalkan dan tidak boleh lebih daripada 21 darjah selsius,” katanya.










