Ibu bapa bermalam di masjid demi menghantar anak masuk UPM

Ibu bapa bermalam di masjid demi menghantar anak masuk UPM

IBU bapa turut diberikan khemah dalam Masjid UPM untuk menghantar anak-anak mereka mendaftar di universiti berkenaan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa atau penjaga kepada pelajar-pelajar baharu yang tidak berkemampuan dari segi kewangan terpaksa bermalam di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghantar anak-anak mereka menyambung pengajian di universiti berkenaan.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan) Sains Rumah Tangga, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Nur Syahidatul Iman Ahmad Tamizi, 19, menceritakan pengalamannya ke UPM bersama ibu dan adik-adik menaiki bas dari Gurun, Kedah.  

“Saya sudah tiada ayah, jadi, kami terpaksa menaiki bas untuk ke UPM bersama ibu dan juga adik-adik kerana tiada siapa pandai memandu. Saya sangat gembira kerana adik dan ibu banyak membantu saya untuk menyambung ijazah di UPM. 

“Inilah pengorbanan besar yang dilakukan oleh ibu. Saya akan tunaikan hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang cikgu sama sepertinya,” katanya yang menyertai program Musafir Hana di Masjid UPM. 

Sementara itu, Masjid UPM menganjurkan Program Musafir Hana yang menjadikan Masjid UPM sebagai persinggahan sementara bagi para pelajar dan keluarga dari perantauan untuk berehat dan tidur semalaman selepas menghantar anak mereka untuk berdaftar di UPM.

Program itu bertujuan menyediakan penginapan sementara kepada bakal pelajar dan keluarga pelajar yang tiada tempat tinggal ketika pelajar datang mendaftar.

Makanan dan minuman disediakan secara percuma untuk bakal pelajar dan keluarga bermula sebaik mereka tiba di masjid sehingga waktu mereka pulang ke kampung halaman selain membantu keluarga pelajar yang terputus wang ketika mahu pulang.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani), FPP, UPM, Norsyam Hakimi Abdu Mukmin, 20, berkata, hanya dengan pendidikan beliau mampu mengubah nasib keluarga.

“Saya pada mulanya ingin terus bekerja sebagai seorang polis atau bekerja dengan keputusan SPM tetapi ayah tidak mengizinkan dan menyuruh saya untuk  terus belajar dan  mengubah nasib keluarga kami ini di Besut, Terengganu. 

“Kerana kesungguhan ingin menjadi seorang guru, saya hadir ke temuduga di UPM seorang diri menaiki bas dan syukur saya berjaya mendapat tawaran belajar di UPM sebagai seorang guru berkat doa ibu dan ayah,” ujarnya ketika ditemu bual di Masjid UPM bersama ahli keluarga yang bermalam di sana.  

Jelas Norsyam, beliau akan ingat segala pengorbanan ayah dan ibu selama-lamanya kerana  ayahnya sempat berniaga menjual kuih-muih di pasar sebelum menghantarnya ke UPM bagi menyambung pendidikan di peringkat ijazah.

Selain itu, beliau juga turut berazam untuk menjadikan dirinya sebagai contoh kepada adik-adiknya yang masih kecil sebagai pembakar semangat mereka untuk menuntut ilmu di masa akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN