Hospital Sarawak serius kekurangan doktor

Hospital Sarawak serius kekurangan doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hospital di pedalaman Sarawak mengalami kekurangan serius pegawai perubatan terutama di Jabatan Kecemasan sehingga menjejaskan tempoh masa dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang petugas perubatan di hospital itu berkata, isu kekurangan katil tidak lagi menjadi isu utama, tetapi kekurangan petugas memberi bebanan tugas dan tekanan kepada doktor sedia ada.

Beliau memberitahu, seorang doktor perlu bertugas dan terpaksa mengendalikan pesakit secara serentak di zon merah, kuning dan hijau pada setiap shif.

“Setiap bulan kira-kira 1,700 pesakit perlu dirawat di Jabatan Kecemasan. Ia sangat membebankan walaupun tugas di zon hijau boleh dikendalikan oleh pembantu perubatan.

“Fasiliti kesihatan di Sarawak mengalami kekurangan serius doktor,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melanjutkan operasi di Klinik Kesihatan bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital adalah satu strategi tidak praktikal.

Katanya, walaupun mahu membantu rakyat mendapatkan akses rawatan kesihatan lebih mudah, namun ia menambah bebanan kepada petugas kesihatan sedia untuk bekerja lebih masa tanpa meningkatkan jumlah staf.

“Ia seolah-olah KKM tidak mempedulikan kebajikan petugas kesihatan yang terpaksa bekerja lebih masa tanpa menambah staf baharu.

“Pada akhirnya, lebih ramai doktor meletak jawatan sekali gus menimbulkan krisis dalam sektor kesihatan negara,” katanya.

KKM sebelum ini melaksanakan pemanjangan Waktu Operasi Selepas Waktu Pejabat di 52 klinik kesihatan di seluruh negara bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital.

Waktu operasi klinik itu akan dipanjangkan dari pukul 5 petang hingga 9.30 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.

Bagi Negeri Kedah, Kelantan dan Johor, waktu operasi pada hari Ahad hingga Khamis dari pukul 5 petang hingga 9.30 malam dan 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN