PETALING JAYA: Kumpulan Hartal Doktor Kontrak bersetuju dengan saranan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya kerajaan menawarkan skim perjawatan tetap tanpa pencen dan menggantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Malah, jurucakapnya yang enggan dikenali ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan, cadangan itu sudah dibangkitkan sejak tiga tahun lepas lagi bagi menyelesaikan isu perjawatan doktor kontrak yang masih berlarutan sehingga kini.
“Hartal Doktor Kontrak telah utarakan cadangan ini (tawar jawatan tetap tanpa pencen dengan KWSP) semenjak 2021 lagi,” katanya ringkas.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Dr. Noor Hisham berkata, tawaran lantikan tetap dengan skim KWSP itu sebagai salah satu tindakan penyelesaian bagi menjamin kerjaya petugas perubatan demi menyokong sistem kesihatan negara.
Pada masa ini, doktor kontrak di seluruh Malaysia berjumlah 20,300 dengan penambahan lebih daripada 5,000 doktor setiap tahun.
Noor Hisham yang juga Canselor Universiti Cyberjaya berkata, perkara itu memerlukan kehendak politik (political will) membuat keputusan kerana terlalu banyak cadangan diberikan tetapi tidak dilaksana.
Katanya, jawatan tetap dengan caruman KWSP turut boleh memberi opsyen kepada para doktor jika mahu menyambung tugas di mana-mana sektor swasta.
Mengulas lanjut, juru cakap kumpulan Hartal Doktor Kontrak itu berkata, kerajaan digesa untuk lebih proaktif dalam menyelesaikan isu perjawatan tetap doktor kontrak.
Katanya, ini kerana perkembangannya ada, tetapi masih lagi perlahan.
“Harap Belanjawan 2024 ada sinar harapan untuk selesaikan perkara ini.
“Buat masa ini, Hartal Doktor Kontrak akan akan terus mengadakan libat urus dan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan berkenaan isu ini,” katanya. – UTUSAN










