KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat Dewan Rakyat tertangguh seketika apabila hanya tujuh ahli Parlimen kerajaan berada dalam dewan.
Penangguhan itu dibuat ketika Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar yang juga salah seorang wakil kerajaan sedang menyampaikan ucapannya.
Ketika ucapan itu disampaikan, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd. Misbahul Munir Masduki bangkit menyatakan bahawa kehadiran Ahli Parlimen tidak mencukupi 26 orang untuk meneruskan sesi perbahasan.
“Tak cukup korum. Hanya 17, 18 orang saja. Ahli Parlimen kerajaan cuma tujuh orang (dalam dewan). Kena bunyikan loceng, kalau tak cukup juga kena tangguh,” kata Mohd. Misbahul.
Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen memaklumkan bahawa sebahagian ahli Parlimen ketika itu sedang menghadiri satu taklimat di bangunan Parlimen.
“Ada taklimat di aras dua. Kebanyakan ahli Parlimen menghadiri taklimat yang diadakan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong mengarahkan loceng dibunyikan selama kira-kira dua minit, sebelum membenarkan sesi perbahasan disambung semula.-UTUSAN










