PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengenang keperibadian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang yang memiliki sifat keibuan serta tidak pernah membezakan darjat seseorang.
Fazley yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Putra World Trade Centre (PWTC) selama 10 tahun berkata, tempoh tersebut memberinya peluang mengenali isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dengan lebih dekat.
“10 tahun saya bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di C Putra World Trade Centre Kuala Lumpur. Selama itu juga saya mengenali sosok Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selaku isteri tercinta kepada Tun Mahathir.
“Dengan tutur kata yang sentiasa tersusun rapi, bak seorang ibu kepada sesiapa sahaja yang mengenali beliau tidak mengira darjat dan keturunan,” katanya di Instagram.
Dalam hantaran sama, Fazley turut berkongsi sisi peribadi Allahyarhamah yang begitu berjiwa rakyat ketika membantu seorang kakitangan wanita PWTC yang tersadung pada karpet ketika membawa air untuknya.
“Salah seorang staf wanita kami di PWTC pernah tersadung karpet lalu tertumpahkan air yang beliau minta. Allahyarham Tun bingkas bangun dan terus membantu staf dan bertanya, tentang tentang keadaan staf berkenaan.
“Sedangkan baju Tun sudah terkena sisa air yang tertumpah itu. Daripada takut, staf kami terus menangis terharu dan tetap memohon maaf berkali-kali,” kongsinya.
Bagi Fazley, insiden kecil tersebut cukup menggambarkan kemuliaan hati serta sifat keibuan Allahyarhamah yang sentiasa mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya.
“Begitu mulianya hati Allahyarham dan begitu besar nilai keibuan beliau. Terima kasih kerana sentiasa menjadi kekuatan dan pemberi semangat buat kami semua. Kami akan merindui Tun. Al-Fatihah,” tulisnya.
Tun Siti Hasmah dikhabarkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini pada usia 100 tahun.
Berita pemergian tersebut disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama. Allahyarhamah meninggalkan suami dan tujuh orang anak.











