GEG sukar dilaksanakan dan dijangka bakal ’menyemarakkan’ aktiviti penyeludupan

GEG sukar dilaksanakan dan dijangka bakal ’menyemarakkan’ aktiviti penyeludupan

Kenaikan harga rokok dikhuatiri menyebabkan permintaan terhadap rokok seludup meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tabiat merokok adalah sesuatu yang amat sukar dibendung di negara ini dan sejak berdekad-dekad lalu, usaha untuk mengurangkan kelaziman merokok adalah mencabar. Ditambah pula kemunculan rokok seludup yang murah harganya, menjadikan usaha mengawal penularan tabiat ini menjadi lebih sukar.

Harga rokok seludup yang boleh didapati pada harga semurah RM5 menjadikan usaha kerajaan menaikkan cukai tembakau dan harga rokok untuk mengurangkan kadar merokok negara tidak berjaya dan sebaliknya dibelenggu dengan masalah penyeludupan.

Sudah tentu, sekiranya Dasar Generasi Penamat (GEG) dilaksanakan, aktiviti penyeludupan akan lebih berleluasa dan ia akan mendominasi 100 peratus kawalan pasaran ekoran permintaan yang sangat tinggi terhadap rokok.

Undang-undang sedia ada yang melarang menghisap rokok di tempat awam seperti premis makanan nampaknya juga tidak begitu berkesan. Jika dulu ada sahaja mata-mata yang sentiasa mencari kesalahan penghisap rokok tetapi kini semakin ramai yang berani menghisap rokok di premis makanan tanpa mengendahkan orang sekeliling. Ini kerana tabiat itu sukar untuk dibuang.

Keburukan itu tidak berhenti di situ sebaliknya ia jauh lebih teruk disebabkan terdapatnya permintaan tinggi dalam kalangan rakyat di negara ini sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian hampir RM5 bilion tahun lalu daripada hasil penyeludupan rokok yang tidak dikutip.

Cadangan beberapa pihak sebelum ini untuk menaikkan harga rokok di pasaran bukanlah idea yang terbaik memandangkan, rakyat sentiasa mempunyai pelan sandaran iaitu dengan membeli rokok seludup yang lebih murah.

Berdasarkan angka itu, maka benarlah kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin bahawa aspirasi kerajaan untuk mengharamkan rokok untuk generasi akan datang di bawah GEG akan berakhir dengan kegagalan kerana perdagangan rokok tidak sah.

“Kita mesti belajar daripada sejarah bahawa dasar larangan hanya akan menguntungkan perdagangan haram, memperkayakan penjenayah dan menyebarkan rasuah dalam institusi awam kita,” kata Dr. Afif.

Kos sara hidup yang tinggi dan peningkatan harga rokok di pasaran ketika ini tidak menghalang penghisap rokok tegar untuk berhenti daripada tabiat buruk itu, sebaliknya mereka tetap mencari alternatif lain dengan membeli rokok seludup yang  amat mudah didapati di kedai-kedai runcit atau ‘Kedai Acheh’.

Ketika ini rokok sah dijual antara RM12 hingga RM17.70 sekotak sebaliknya rokok haram hanya dijual antara RM4 hingga RM8 sekotak.
Kajian Rokok Seludup (ICS) di Malaysia dalam laporan yang diterbitkan bagi bulan Mei tahun ini yang dilaksanakan oleh Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menunjukkan gejala rokok seludup di Malaysia kekal di paras tinggi iaitu 55.3 peratus, meskipun sedikit rendah sebanyak 1.3 mata peratus daripada 56.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Terdapat banyak rampasan rokok seludup yang diberjaya dilakukan oleh pihak berkuasa antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan mengedar 24,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta susulan penahanan sebuah lori di Kilometer 56.7 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, 13 September lalu.
Sementara JKDM Perak pula merampas 1,817,960 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM1.3 juta, termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan pada 27 Julai lalu dan banyak lagi rampasan yang dilakukan pihak berkuasa selama ini.
Pun begitu, tindakan penguatkuasaan seperti rampasan dan serbuan sahaja tidak akan memberi kesan apa-apa. Sepatutnya kes-kes ini menjadi penanda aras untuk kerajaan meningkatkan lagi usaha mengekang kemasukan rokok seludup kerana ia menjejaskan ekonomi dan juga Malaysia akan dianggap sebagai sebuah negara yang undang-undangnya rapuh selain mudah dibolosi.
Bukan lagi rahsia bagi mengelak daripada ditangkap, sindiket memindahkan pendaratan bot yang membawa rokok seludup ke kawasan pesisir pantai dan menyorokkannya dalam lori untuk diedar ke seluruh negara.
Sehubungan itu kawasan pendaratan itu perlu dikenalpasti dan diawasi.
Menjelang pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober ini, kerajaan disaran untuk melihat semula secara holistik bagaimana boleh memperhebatkan tindakan mengekang aktiviti jenayah kemasukan rokok seludup ke negara ini.
Kerajaan tidak boleh lagi menutup sebelah mata dengan membenarkan kegiatan penyeludupan dan pasaran gelap rokok berleluasa. Pahit untuk ditelan tetapi hakikatnya ia menjejaskan ekonomi negara.
Kerajaan perlu ada strategi dan pendekatan yang tersusun bagi menamatkan permintaan rokok seludup dalam kalangan masyarakat dan bukannya memperkenalkan dasar seperti GEG yang hanya akan menyemarakkan lagi aktiviti penyeludupan.
Kerajaan juga perlu memastikan pegawai penguat kuasa kebal daripada disuap laba rasuah bagi membolehkan aktiviti membanteras jenayah rokok seludup dapat dilakukan sepenuhnya. Tiada tolak ansur hukuman bagi pegawai yang terlibat dengan rasuah.
Duri dalam daging ini harus ‘dibunuh’ sebelum ia menjadi barah kepada negara sekali gus langkah ini pastinya akan ‘mematikan’ kemasukan rokok haram dari luar.
Tetapi untuk ketika ini langkah yang terbaik adalah dengan mengekang permintaan terhadap rokok seludup sangat tinggi ekoran harganya yang terlalu murah berbanding rokok sah. Sudah tiba masanya Kerajaan melihat kepada cara bagaimana untuk memecahkan dominasi permintaan rokok seludup dengan mematahkan penawarannya di pasaran.
Selain itu, cadangan untuk mengguna pakai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membanteras kegiatan jenayah berkaitan sindiket penyeludupan juga perlu dilaksanakan  untuksekaligus mematahkan operasi dalang penyeludupan negara. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya