Gas LPG meletup: Bangunan bergegar seakan gempa bumi

Gas LPG meletup: Bangunan bergegar seakan gempa bumi

KEADAAN bahagian belakang dinding sebuah rumah yang berlubang akibat kesan letupan gas petroleum cecair (LPG) di Apartment Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin.- UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk di Apartment Desa Tun Razak berdepan detik cemas apabila sebuah rumah di tingkat 10 terbakar selepas gas petroleum cecair (LPG) meletup di kediaman terbabit, kelmarin.

Kejadian pada pukul 10.50 malam itu turut menggegarkan beberapa rumah jiran, malah dinding konkrit rumah tersebut jatuh sehingga menghempap kira-kira 12 motosikal yang diparkir di tingkat bawah.

Difahamkan, ketika kejadian, penghuni rumah terbabit iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun baru pulang ke rumah dan menekan suis lampu sebelum gas tersebut meletup.

Saksi kejadian, Norleelawati Muhammad, 43, berkata, dia yang tinggal berhadapan dengan rumah tersebut menyangka berlaku gempa bumi kerana gegaran akibat letupan tersebut.

“Saya yang ketika itu berada di bilik tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang turut menggegarkan rumah.

“Dalam keadaan cemas, saya meluru keluar dan suami memaklumkan ada letupan di rumah depan hingga berlaku kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia dan suami membuat keputusan ke tingkat bawah sebelum terdengar jirannya meminta tolong dari dalam rumah terbabit.

“Beberapa jiran di tingkat 10 terus membantu mengangkat lelaki itu yang melecur di badan sebelum dibawa ke hospital.

“Berdasarkan cerita penghuni itu, dia baru pulang dari kerja sebelum buka suis lampu, tiba-tiba gas itu meletup. Akibat kejadian itu, tingkap di rumah saya pecah dan pintu tercabut,” katanya.

Susulan itu, katanya, dia membuat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang dikenali sebagai Jaya, 52, berkata, dia kini ‘patah kaki’ apabila motosikal yang dimilikinya sejak 17 tahun lalu rosak akibat kejadian itu.

Jelasnya, dia yang tinggal di tingkat 14 di apartment tersebut hanya mengetahui kejadian itu selepas mendengar bunyi bising suara penghuni lain.

“Ketika itu saya sedang tidur, isteri kata rumah bergegar. Apabila turun, saya lihat motosikal dihempap dinding konkrit yang jatuh daripada rumah itu.

“Walaupun terpaksa meminjam motosikal kawan untuk ke tempat kerja namun saya bersyukur tiada mangsa yang terkorban. Nasib baik hempap motosikal, bukan orang,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan dua kediaman di Blok 4, Apartment Desa Tun Razak terbakar selepas berlaku letupan dipercayai akibat kebocoran gas.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas sehingga berlaku letupan dan mengakibatkan seorang mangsa lelaki melecur 30 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×