KoDigital sasar lahir 1,000 tenaga pengajar AI

KoDigital sasar lahir 1,000 tenaga pengajar AI

INISIATIF KoDigital AI Trainer yang menyasarkan kelahiran 1,000 tenaga pengajar AI bagi memperluas pendidikan teknologi itu kepada masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KoDigital menyasarkan untuk melahirkan 1,000 tenaga pengajar kecerdasan buatan (AI) bagi memperluas pendidikan dan kemahiran teknologi itu kepada masyarakat.

Ketua Latihan AI KoDigital, Nurul Izwani Mohd. Nor berkata, sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada strategi untuk membangunkan satu juta Komuniti KoDigital.

Katanya, sasaran 1,000 tenaga pengajar AI bukan sekadar angka yang ditetapkan, sebaliknya membentuk rangkaian tenaga pengajar yang mampu membawa ilmu AI secara terus kepada masyarakat.

“Kenapa kita memerlukan 1,000 AI Trainer? Kerana kita sedang membina satu komuniti yang besar.

“Sasaran KoDigital adalah untuk mewujudkan 1,000,000 Komuniti KoDigital. Untuk mencapai sasaran tersebut, kita memerlukan rangkaian trainer yang mampu membawa ilmu AI secara terus kepada masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Nurul Izwani, setiap tenaga pengajar AI akan berperanan sebagai pengajar, pendidik dan pembimbing kepada komuniti masing-masing bagi membantu masyarakat memahami serta menggunakan teknologi berkenaan secara praktikal.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan pendidikan AI diperluaskan secara dipacu komuniti dan tidak hanya tertumpu kepada golongan yang mempunyai latar belakang teknologi.

“AI tidak seharusnya hanya dikuasai oleh golongan tertentu. Kita mahu membawa pendidikan AI lebih dekat kepada masyarakat.

“Sebab itu kita memerlukan trainer yang boleh mengajar, membimbing dan membantu komuniti menggunakan AI secara praktikal,” katanya.

Nurul Izwani berkata, matlamat KoDigital bukan sekadar melahirkan individu yang tahu menggunakan AI, tetapi membina masyarakat yang mampu memahami, menggunakan dan memanfaatkan teknologi tersebut dalam kehidupan serta aktiviti ekonomi.

Katanya, transformasi digital tidak hanya memerlukan teknologi, sebaliknya turut memerlukan modal insan yang mempunyai kemahiran untuk menggunakan teknologi berkenaan secara berkesan.

Sehubungan itu, pembangunan tenaga pengajar AI dilihat sebagai antara komponen dalam usaha memperluas pendidikan dan kemahiran AI kepada masyarakat.

KoDigital menyasarkan usaha tersebut dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih celik digital dan AI, selain bersedia menghadapi perubahan dalam ekonomi digital.

Sasaran 1,000 tenaga pengajar AI itu menjadi sebahagian daripada usaha KoDigital menuju pembentukan satu juta Komuniti KoDigital sebagai asas kepada aspirasi membangunkan “Peradaban All Digital”.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×