KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran menetapkan peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2027 mengikut nisbah 50:25:25 bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Mohd. Anuar Ghani berkata, pembahagian itu penting bagi mengurangkan jurang pembangunan antara ketiga-tiga wilayah.
Katanya, pada 2026, Sabah menerima RM6.9 bilion dan Sarawak RM6 bilion daripada keseluruhan RM81 bilion peruntukan pembangunan Persekutuan, masing-masing hanya 8.5 peratus dan 7.4 peratus.
“Ini bermakna Semenanjung menerima RM68.1 bilion atau 84.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan.
“Pada 2025 pula, Sabah menerima RM6.7 bilion dan Sarawak RM5.9 bilion daripada RM86 bilion, masing-masing 7.8 peratus dan 6.8 peratus,” katanya.
Menurutnya, Semenanjung menerima RM73.4 bilion atau 85.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan pada tahun berkenaan.
Mohd. Anuar turut mendakwa peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak tidak dibelanjakan sepenuhnya pada setiap tahun kewangan, menyebabkan baki ditarik balik untuk digunakan pada tahun berikutnya.
Katanya, keadaan itu mengurangkan kesan sebenar peruntukan pembangunan kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, keluasan Sabah dan Sarawak juga besar, masing-masing meliputi kira-kira 22.3 peratus dan 37.6 peratus daripada keluasan Malaysia, berbanding Semenanjung sebanyak 39.8 peratus.
“Melihat kepada jurang peruntukan serta keluasan wilayah, tidak menghairankan Sabah dan Sarawak terus berdepan masalah pembangunan dan kemiskinan,” katanya.
Mohd. Anuar berkata, berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita 2025, Sabah mencatat RM31,125 dan Sarawak RM73,757 berbanding purata nasional RM59,167.
Katanya, Sabah masih berdepan masalah asas termasuk gangguan bekalan elektrik dan air serta keadaan jalan raya yang kurang baik.
“Banyak kawasan luar bandar masih tidak mendapat bekalan air terawat dan penduduk kampung terpaksa bergantung kepada sumber air graviti.
“Keadaan jalan raya dan kerja penyelenggaraan juga tidak baik dengan jalan berlubang di seluruh negeri,” katanya.-UTUSAN










