Taufan Dujuan: Korban meningkat 9, empat lagi hilang

Taufan Dujuan: Korban meningkat 9, empat lagi hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sembilan orang maut manakala empat lagi masih hilang selepas Taufan Dujuan melanda kawasan berhampiran Tokyo dengan hujan lebat, menurut angka terkini pihak berkuasa tempatan.

Wilayah Chiba, di timur Tokyo, merekodkan enam kematian manakala Kanagawa mencatatkan tiga kematian setakat jam 8 pagi waktu tempatan, hari ini.

Dua orang dilaporkan hilang di setiap wilayah berkenaan, manakala seorang mangsa di Kanagawa cedera parah.

Taufan yang menghampiri wilayah Kanto pada 21 September lalu mencetuskan tanah runtuh dan banjir, selain merosakkan kira-kira 500 rumah di Chiba, Kanagawa dan Ibaraki, menurut penyiar NHK.

Dikenali sebagai Taufan No. 25 di Jepun, ribut berkenaan bergerak ke arah timur laut dan menjauhi pantai Pasifik negara itu menjelang malam Selasa, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Taufan berkenaan membawa hujan pada tahap rekod di beberapa kawasan di timur Jepun, dengan sesetengah kawasan merekodkan lebih 800 milimeter hujan dalam tempoh 48 jam.

Kementerian Pengangkutan Jepun turut melaporkan kejadian tumpahan minyak pada 21 September lalu di sebuah loji penapisan milik Eneos di Yokohama, wilayah Kanagawa.

Seorang lagi maut akibat tanah runtuh di wilayah Miyazaki, di pulau Kyushu, selepas hujan lebat melanda kawasan itu pada hujung minggu lalu, menurut kementerian berkenaan.

Taufan Dujuan melanda Jepun ketika negara itu menyambut cuti lima hari sempena Silver Week. Pasaran Jepun akan kembali beroperasi pada Khamis.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×