KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati aset semasa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak dapat menampung keperluan liabiliti semasa dalam tempoh jangka pendek.
Laporan itu menyatakan, ia berikutan Felda mengalami kerugian bersih sebelum cukai berjumlah RM36.92 juta seperti dinyatakan dalam Penyata Pendapatan.
Sehubungan itu, aliran tunai aktiviti operasi Felda pada 2021 mengalami defisit berjumlah RM615.49 juta berbanding RM1.012 bilion pada 2020.
“Pada 31 Disember 2021, kedudukan aset semasa FELDA berjumlah RM2.8 bilion manakala liabiliti semasa berjumlah RM3.999 bilion, menyebabkan FELDA mengalami liabiliti semasa bersih berjumlah RM1.199 bilion
“Pada 2021, Felda mengalami kerugian bersih sebelum cukai berjumlah RM36.92 juta seperti dinyatakan dalam Penyata Pendapatan manakala aliran tunai aktiviti operasi FELDA mengalami defisit RM615.49 juta,” menurut laporan itu melalui Pendapat Tanpa Teguran.
Pendapat Tanpa Teguran dalam LKAN adalah apa yang dinyatakan juruaudit apabila membuat kesimpulan bahawa penyata kewangan yang disediakan memberi gambaran benar dan saksama, selaras piawaian perakaunan.
Sebanyak 21 penyata kewangan diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran dan perenggan Penegasan Perkara.
Sementara itu, baki pinjaman daripada institusi luar Felda dicatat sebanyak RM8.809 bilion termasuk pinjaman RM793.44 juta daripada kerajaan Persekutuan.
Laporan itu menyatakan, jumlah pinjaman daripada institusi luar dan kerajaan menunjukkan Felda mempunyai komitmen tinggi untuk melunaskan pembiayaan sehingga tempoh matang.
“Di peringkat kumpulan, jumlah baki pinjaman daripada institusi luar adalah RM15.903 bilion lebih tinggi berbanding RM14.728 bilion pada 2020.
“Baki geran kerajaan dicatat berjumlah RM996.41 juta yang mana penyaluran geran itu dilaporkan bagi membiayai projek infrastruktur, program pembangunan peneroka, penghapusan faedah pinjaman kepada peneroka, Program Perumahan Generasi Baharu dan Pakej Rangsangan Ekonomi.
“Kemampuan Felda memenuhi obligasi kewangannya pada masa hadapan bergantung kepada keupayaan pihak pengurusan untuk menambah baik aliran tunai agar dapat menampung kos operasi dan liabiliti kepada peneroka serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan,” katanya.
Baki penghutang lain Felda dicatatkan berjumlah RM144.05 juta, termasuk Prabayaran Milikan Tanah Notis 5A berjumlah RM37.86 juta membabitkan 579 bayaran premium tanah yang belum menerima hak milik daripada pihak kerajaan negeri dari 1976 hingga 2021. – UTUSAN









