KUALA TERENGGANU: Masalah kekeruhan air di kawasan Santuari Kelah, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, dekat sini sejak Khamis lalu kembali pulih apabila keadaannya dilaporkan jernih dan berada pada tahap normal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, bagaimanapun punca utama kejadian tersebut masih dalam siasatan menyeluruh oleh pihak berkaitan dan belum dapat disahkan setakat ini.
Katanya, walaupun terdapat dakwaan yang mengaitkan kekeruhan itu dengan aktiviti pembalakan, perkara tersebut belum mempunyai bukti kukuh dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan segera menjalankan pemantauan di lapangan. Hasil tinjauan hari ini (semalam) mendapati keadaan air kembali jernih dan berada pada tahap normal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kejadian itu adalah kali pertama direkodkan berlaku di kawasan berkenaan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.
Terdahulu, isu kekeruhan air di Santuari Kelah mula dikesan dan menjadi tular dalam media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Sehubungan itu, Razali menegaskan bahawa sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir akan dipantau secara ketat dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat atau peraturan ditetapkan.
Katanya, perhatian khusus diberikan kepada kawasan sensitif seperti Santuari Kelah dengan pelaksanaan langkah mitigasi segera bagi memastikan kualiti air serta habitat ikan kelah terus terpulihara. – UTUSAN







