Ejen takaful bukan kerja low class - Utusan Malaysia

Ejen takaful bukan kerja low class

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA tercabar dengan persepsi segelintir lapisan masyarakat yang menganggap kerjaya sebagai ejen takaful sebagai kerjaya low class atau strata kerja yang rendah.

“Maka, saya hendak buktikan profesion ini bukan mudah. Namun, ia memerlukan individu yang mempunyai ilmu dan kualiti kerja yang tinggi serta diiktiraf kerjaya profesionalnya di peringkat antarabangsa.

“Kerjaya ini juga menjanjikan pulangan lumayan daripada segi pendapatan berniaga serta kehidupan seimbang dalam penilaian fleksibiliti kerja.”

Itu penegasan ejen takaful, Mahzuan Mohmed mengenai persepsi dalam kalangan ramai orang berhubung ejen insurans yang dilihat sebagai kerjaya yang dipandang rendah dan tidak mempunyai kelas atau strata yang baik.

Persepsi ini wujud tatkala ramai belum menyedari peri pentingnya insurans atau takaful di dalam kehidupan mereka.

Dalam masa sama, wujud segelintir ejen yang lebih suka membuat jualan secara hard sales kepada prospek sehingga meninggalkan kesan kurang selesa kepada segelintir orang.

“Ada ejen asyik bercakap soal takaful dan insuran semata-mata untuk mencapai sasaran jualan atau memperoleh komisen, tanpa menilai pemahaman jangka panjang prospek, kemampuan serta analisis keperluan untuk kehidupan seseorang.

“Sebagai ejen, mereka perlu lebih sensitif dan proaktif tentang keperluan seseorang dalam mengurus kewangan daripada segenap perspektif. Contohnya dalam merancang persaraan, pendidikan anak-anak serta pengurusan harta ketika berlaku kecemasan.

“Ejen seharusnya melakukan semakan latar belakang dan analisis kewangan yang cukup sebelum memupuk kesedaran yang wajar mengikut keperluan
prospek,” jelasnya.

MDRT

Mahzuan membabitkan diri dalam sektor insurans dan takaful sejak 2021 dan sudah dua tahun berada dalam industri tersebut.

Dalam tempoh singkat itu, beliau berjaya membuktikan pencapaian luar biasa apabila meraih Million Dollar Round Table (MDRT) iaitu jumlah bayaran tahunan
yang mencapai tahap kredit cemerlang yang ditentukan oleh pihak MDRT di Amerika Syarikat iaitu melebihi RM360,000.

Lebih membanggakan, beliau turut mengulangi pencapaian sama pada tahun 2022.

MDRT adalah persatuan global bebas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai tahap kecemerlangan dalam sektor insurans hayat dan perkhidmatan kewangan.

Para ahlinya perlu menjana tahap premium, komisen dan pendapatan tertentu seperti nilai jualan tertinggi, selain menampilkan pengetahuan profesional, tingkah laku beretika serta perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.

Sejak menerima pengiktirafan MDRT, Mahzuan berkata, dia banyak menerima undangan menyampaikan penerangan mengenai takaful di agensi kerajaan dan universiti tempatan.

Kongsinya, disiplin menjadi kunci utama untuk beliau kekal berjaya dalam bidang takaful sekali gus menjana pendapatan yang sangat lumayan.

“Kerjaya saya sekarang memang sangat fleksibel. Hanya perlu masuk pejabat pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja. Hari Selasa dan Khamis pula perlu pandai menguruskan masa sendiri,” kongsinya.

PUNCA JADI EJEN

Pembabitan Mahzuan dalam bidang berkenaan bermula selepas rakan sekolahnya semasa menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis, mempelawanya menghadiri sebuah seminar kerjaya.

“Itu kali pertama saya hadir seminar mengenai takaful dan tertarik ingin bekerja dalam bidang ini.

“Sebelum bekerja dengan mana-mana organisasi, saya selalu melihat siapakah yang bakal menjadi ketua saya.

“Kebetulan, masa itu saya melihat seorang pengurus berbangsa Cina ini banyak memberikan dorongan, motivasi dan sentiasa berfikiran positif membuatkan saya tertarik untuk bekerja di bawah bimbingannya,” katanya.

TAK PERNAH GAGAL TEMUDUGA

Anak kelahiran Temerloh, Pahang, ini berpengalaman kerja dalam bidang korporat selama 10 tahun.

Mendapat tawaran kerja seawal usia 22 tahun membuktikan kecemerlangan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini dalam bidang pendidikan.

Mahzuan juga pernah meraih beberapa kali Anugerah Dekan serta mendapat tajaan biasiswa sepenuhnya daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) sepanjang pengajian di universiti.

Selain bijak dalam pelajaran, Mahzuan bergiat aktif dalam bidang pengucapan awam dengan menyertai pertandingan debat di universiti. Pencapaian tertinggi yang diraih adalah Johan Debat Piala Diraja Malaysia 2006.

Selepas menamatkan Diploma dan Ijazah Perakaunan di UiTM, Mahzuan menerima tawaran kerja di syarikat Proton Holdings.

“Selepas itu, saya ambil cuti untuk sambung belajar dan menduduki Peperiksaan Badan Akauntan Bertauliah (ACCA) di United Kingdom (UK) pada 2012.

“Setahun selepas itu, saya pulang ke Malaysia dan kembali bekerja di Proton. Kemudian, saya dapat tawaran menyambung pelajaran peringkat Master dalam bidang politik ekonomi di UK,” katanya.

Walaupun bergraduasi dalam bidang perakaunan, namun, dia lebih banyak bekerja dalam bidang perolehan seperti melakukan perundingan dengan pembekal.

“Ikutkan masa berusia 33 tahun, baru saya bekerja dengan bidang berkaitan pengajian iaitu menjadi pengurus kewangan di syarikat Hitachi. Ketika itu, tawaran gaji serta elaun sudah mencecah lima angka.

“Baru setahun bekerja di tempat baharu, negara sudah dilanda pandemik Covid-19 dan saya lebih banyak bekerja di rumah ketika itu.

“Saya ambil risiko berhenti ketika itu, walaupun belum ada sebarang tawaran kerja lain. Sebab masa itu, saya ambil keputusan untuk berehat selama dua bulan.

“Hendak jadikan cerita, semasa tempoh berehat ada juga saya menghadiri empat temuduga dan kesemuanya lulus dan memanggil saya bekerja,” katanya.

TEKANAN KERJA

Anak kedua daripada empat beradik ini seperti ‘berperang’ dengan diri sendiri. Katanya, beliau tidak menafikan agak tertekan ketika bekerja di sektor korporat.

Disebabkan itu, katanya, beliau mula memikirkan solusi dan mencari peluang pekerjaan yang lebih fleksibel.

“Kalau dahulu saya perlu keluar rumah pukul 6 pagi dan pulang 10.30 malam. Kadang-kadang, hari cuti pun perlu bekerja.

“Ada satu tahap saya menangis sebab rasa seperti tiada masa hendak balik kampung, menonton wayang bersama kawan-kawan atau menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Sejak itu, saya tanya diri sendiri sampai bila hendak hidup dalam penuh kepenatan, walaupun dapat gaji yang banyak,” katanya.

Berkongsi pengalaman untuk mengubah kerjaya, Mahzuan memberitahu, ramai individu di sekelilingnya termasuk ahli keluarganya sendiri yang menentang hasratnya.

Apatah lagi, katanya, dia berdepan persepsi negatif daripada rakan-rakan yang memandang rendah terhadap kerjaya menjadi seorang ejen takaful.

“Saya tetap positif dan tak sampai enam bulan menceburi bidang takaful, saya berjaya meraih MDRT,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya