KUALA LUMPUR: Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri menyokong Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembentangan Belanjawan 2024 adalah sangat komprehensif.
Kata beliau, melalui pembentangan Belanjawan tersebut ia akan dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar menjelang hujung tahun ini.
“Tidak ada satu pun kumpulan sasaran yang tertinggal, ini juga bermaksud apa yang disebut sebagai suatu usaha bagi menoktahkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini.
“Kita dapati bahawa daripada hampir 130,000 kumpulan isi rumah yang miskin tegar telah menurun kepada 18,000 dan ini akan dapat dimuktamadkan insya-Allah menjelang 31 Disember ini,” katanya semasa sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan hampir RM400 bilion iaitu meningkat berbanding peruntukan dalam Belanjawan 2023, RM388.1 bilion yang diumumkan pada 24 Februari lalu.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan melakukan kajian selepas pembentangan Belanjawan 2024, Ahmad Zahid berkata, ia akan dibuat bagi melihat kembali mengenai kekurangan yang ada.
“Pastinya ada kajian yang kita akan lakukan dan penambahbaikan pasti boleh dilakukan. Kita bukan bersifat maksum, ertinya bukan sempurna. Tentu ada beberapa kekurangan dan kelemahan perlu diperbaiki.
“Insya-Allah dari masa ke semasa, (seperti) apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) (iaitu) tidak semua kementerian dapat dipuaskan hati tetapi saya yakin pendekatan baharu akan dilakukan apabila kajian dibuat di pertengahan tahun kepada Belanjawan ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Belanjawan 2024 adalah satu bajet yang komprehensif dan merangkumi semua lapisan serta pelbagai segmen.
“Ini saya kira adalah konsep Malaysia Madani yang ingin diketengahkan oleh beliau (Perdana Menteri) dan ini sesuai juga dengan konsep ekonomi Madani yang berteraskan dua perkara iaitu mengstruktur semula ekonomi kita untuk menjadikan Malaysia sekali lagi sebagai penaraju di Rantau Asia. Kedua, menyentuh kesejahteraan rakyat.
“Kalau kita lihat keseluruhan konteks kita tengok tadi, itulah yang dicorakkan satu dalam sudut ekonomi dan menyentuh kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN